syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Universal Music Malaysia menurunkan video muzik terbaharu kumpulan Dolla di semua platform digital susulan kebimbangan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan itu yang dianggap tidak bersesuaian dan mencolok mata.
Langkah itu diambil dengan mengambil kira kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang menegaskan keperluan menjaga batas serta sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, keputusan menarik balik video muzik berkenaan dibuat selepas penelitian semula terhadap keseluruhan kandungan produksi serta maklum balas masyarakat.
“Sebagai sebuah syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti di Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat.
“Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku. Kami percaya kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat.
“Keputusan untuk menurunkan video muzik itu adalah langkah wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Universal Music Malaysia menegaskan komitmen untuk memastikan setiap perancangan kreatif akan melalui proses semakan lebih ketat pada akan datang termasuk perbincangan dalaman dan konsultasi profesional bagi mengelakkan isu serupa berulang.
Pihak syarikat juga merakamkan penghargaan kepada peminat serta masyarakat yang memberikan maklum balas secara terbuka dan membina, selain berharap perkara itu dapat ditangani dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik tempatan.
Terdahulu, Mohd Na’im memaklumkan sedang meneliti untuk mengenakan tindakan jenayah syariah kepada selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata.
Ia termasuk mengarahkan semakan semula terhadap garis panduan pemakaian selebriti beragama Islam.
Baru-baru ini, penampilan kumpulan Dolla menerusi video muzik terbaharu berjudul Question mendapat perhatian ramai dengan ada sebahagian masyarakat menyifatkan ia keterlaluan terutama gaya fesyen seksi.
Susulan itu, pendakwah selebriti, Asma’ Harun turut memberikan teguran terbuka dan berpandangan penampilan Dolla dalam video muzik terbabit tidak bermoral dan memalukan wanita yang beragama Islam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




