PRN Sabah: BN miliki peluang tawan lebih banyak kerusi – Ahmad Zahid

PRN Sabah: BN miliki peluang tawan lebih banyak kerusi – Ahmad Zahid

Kota Kinabalu: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya peluang gabungan parti itu untuk menawan sebanyak mungkin kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November ini, lebih besar.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun BN hanya meletakkan 45 calon daripada 596 calon yang disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanding kali ini, parti itu mempunyai peluang yang lebih baik.

Katanya, peluang itu berikutan wujudnya kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang membolehkan kawasan sukar dijangkaui BN dapat ditembusi menerusi kerjasama dengan rakannya itu.

“BN mempertaruhkan 45 calon yang merangkumi calon UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan kami rasa peluang calon kami kali ini lebih besar.

“Jentera kita lebih tersusun dan ditambah lagi kerjasama Badan Perhubungan Negeri yang membabitkan sejumlah jentera yang sekarang ini berada di 45 DUN di Sabah ini.

“Kenapa saya kata peluang lebih besar, sebab kita dapati apabila kerjasama dengan PH, ia memudahkan kita menembusi kawasan yang sukar kerana ada kawasan tertentu kumpulan Bumiputera bukan Islam agak sukar ditembusi,” katanya berucap pada Sesi Libat Urus Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Media, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kombinasi pengundi di Sabah yang terdiri daripada Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina menyebabkan ada kawasan sukar ditembusi BN pada pilihan raya lalu.

Berikutan kerjasama dengan PH, katanya mereka dapat menembusi kawasan Bumiputera bukan Islam dan Cina, menjadikan kekuatan kedua-dua gabungan bertambah baik.

“Apabila ada kerjasama dengan PH, kawasan Bumiputera Bukan Islam dan Cina kita dapat, mereka sambut kerjasama ini dengan lebih erat dan ada keserasian dalam kepimpinan di Sabah kepada BN dan PH,” katanya.

Mengulas mengenai kerjasama PH dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula, Ahmad Zahid menyifatkannya sebagai satu kerjasama strategik di pihak PH.

“Itu pada hemat saya dan kita (BN) bertembung dengan GRS di 45 kerusi dan kita rasakan isu nasional tidak begitu menguasai minda pengundi di Sabah kali ini. Isu di sini lebih terkait dengan isu negeri dan tempatan.

“Soal utama ialah isu prasarana dan utiliti seperti air, jalan dan elektrik di bandar dan luar bandar.

“Pendidikan dan ekonomi kita lihat dapat ditangani dengan baik,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, walaupun ada isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah, tapi rakyat tidak menjadikannya isu utama, lebih-lebih lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menjelaskan tiada rayuan terhadap perkara itu selepas diputuskan mahkamah.

Sebaliknya, beliau berkata isu itu hanya digunakan oleh parti politik untuk cuba mempengaruhi rakyat supaya terjebak.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan PRN17 Sabah sebagai ‘pesta simbol’ berikutan kemunculan banyak simbol atau lambang parti yang ada antaranya pertama kali dilihat.

“Banyak simbol parti dan ada yang saya tidak pernar dengar sebelum ini, tapi hari ini muncul, tidak kurang juga calon bebas.

“Suasana ini tiada di negeri lain, termasuk di Sarawak, tidak ada yang sehebat Sabah,” katanya.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan SPR, terdapat 23 jenis parti selain yang bertanding Bebas mengambil bahagian dalam PRN17 Sabah. Daripada 596 calon yang disahkan bertanding pula, seramai 74 daripadanya adalah calon Bebas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top