am@hmetro.com.my
Kuching: Lelaki warga emas ditemukan rentung selepas kediamannya musnah dalam kebakaran di Jalan Minah, di Sarikei, awal pagi ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada jam 12.33 tengah malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dengan bantuan BBP Bintangor dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.
Beliau berkata, seramai 15 anggota bomba tiba di lokasi pada jam 12.39 tengah malam.
Katanya, komander Operasi memaklumkan, kebakaran membabitkan sebuah rumah berstruktur tidak kekal yang musnah sepenuhnya.
“Sebuah stor penyimpanan dan dua kenderaan turut terbakar sepenuhnya.
“Rumah berkenaan didiami enam penghuni namun hanya lima berada di rumah ketika kejadian,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Beliau berkata, empat daripada mereka berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lelaki warga emas dipercayai terperangkap di dalam rumah.
“Mayat mangsa yang belum dikenal pasti identiti ditemukan anggota bomba dalam keadaan rentung di bawah timbunan kebakaran di sebuah bilik tidur pada jam 2.18 pagi.
“Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis pada jam 3.35 pagi untuk tindakan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




