khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujudnya sebuah kartel besar menyeludup masuk dadah ke negara ini yang didengarinya sejak 20 tahun lalu dan tidak ada tindakan.
Anwar berkata, selepas beliau menjadi Perdana Menteri dan menunggu selama setahun, namun tidak ada laporan mengenai kartel besar yang membawa dadah itu menerusi kontena.
Beliau turut membangkitkan persoalan berkenaan kepada agensi yang bertanggungjawab, susulan ramai orang bercakap mengenai perkara itu.
“Saya kata macam mana? Orang ramai sudah bercakap mengenainya. Kemudian (laporan) kontena (dadah) itu masuk. Kontena dadah (itu) keluar dari Pelabuhan Klang, ditangkap di Australia.
“Itu saya mengamuk. Saya kata jangan cakap kepada saya anda tak ada apa-apa tindakan,” katanya pada Majlis Minum Pagi dan Sembang Santai Bersama Media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tidak boleh bertolak ansur mengenai perkara itu, dan kemudian mengambil beberapa langkah susulan.
Beliau turut menemui ketua-ketua agensi setiap minggu dan bertemu dengan mereka selama satu jam.
“Apa jadi (daripada laporan) itu? Satu contoh ialah Pelabuhan Klang. Rupa-rupanya ratusan kontena yang masuk seperti sisa e-waste.
“Jadi, kita kata serbu. Bagaimana, bila dan siapa? Itu kerja dia. Saya tak tahu,” katanya.
Menurutnya, daripada perkara itu juga, wujudnya sindiket serta ahli politik yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Ada juga kelakuan dan tindakan jenayah. Ada orang mati dibunuh oleh mereka,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam masa sama memuji agensi penguat kuasa di negara ini yang sudah mengambil tindakan untuk membanteras kegiatan itu.
“Sekarang, kita sudah ambil tindakan. Kita sudah rampas dan dakwa beberapa orang di mahkamah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




