am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu : Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keperluan supaya industri media tempatan memperkenalkan skim gaji minimum sendiri sebagai satu langkah munasabah dalam usaha menjamin kebajikan warga kerjanya sekali gus meningkat profesion kewartawanan.
Perdana Menteri berkata, aduan diterimanya daripada wakil pengamal media di Sabah yang memaklumkan mereka menerima gaji kurang RM2,000 sebulan, biarpun sudah berkhidmat di lapangan sejak 10 tahun, sesuatu yang sukar diterima.
“Soal gaji (minimum) ini, saya akan bercakap lagi dengan (Datuk) Fahmi (Fadzil), dia jaga komunikasi. Adakan pertemuan dengan semua dan syarikat media.
“Saya ingat munasabahlah. Media sekarang ini tidak macam dulu, bukan sebab persaingan media sosial itu banyak, tapi saya fikir kalau 10 tahun kerja ‘senior’ dan gaji begitu, susahlah.
“Saya simpati. Saya terkejut, baru dengar kalau betul ada kes mereka sudah berkhidmat 10 tahun dan (gaji) bawah RM2,000, itu bagi saya betul-betul tak boleh diterima,” katanya ketika hadir program minum pagi dan sembang santai bersama pengamal media Sabah di sini, hari ini.
Lebih 80 pengamal media menghadiri majlis itu. Hadir sama Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin; Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.
Sebelum itu, beliau mendengar luahan daripada seorang wakil persatuan media di Sabah yang berkongsi kisah ada dalam kalangan ahli mereka terutama wartawan sambilan yang menerima gaji di bawah paras gaji minimum iaitu RM1,700 sebulan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sebelum ini beliau sudah meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), menetapkan gaji minimum sekurang-kurangnya RM3,100.
“Itu sebagai mesej kepada sektor swasta yang kita sedang pertimbang ini. Sebab harga barang, kos hidup naik. Saya akan lihat ini (gaji minimum media), bukan di Sabah saja, tapi (untuk) semua.
“Saya akan minta Fahmi hantar laporan mengenai isu media di negeri ini. Kita akan lihat apa yang boleh dilakukan. Kalau kita tak boleh bagi itu, mungkin kita bantu dari segi insentif tertentu kepada media. Jadi mereka boleh guna untuk tingkatkan gaji dan elaun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




