Kualiti udara makin teruk, Mahkamah Agung India minta peguam berhujah secara maya

Kualiti udara makin teruk, Mahkamah Agung India minta peguam berhujah secara maya

New Delhi: Mahkamah Agung India telah meminta peguam untuk tidak hadir ke mahkamah dan mengendalikan kes menggunakan platform maya, ekoran gangguan terbaharu akibat kualiti udara yang semakin merosot.

Indeks kualiti udara New Delhi kekal di atas paras 400 minggu ini, diletakkan dalam kategori “teruk”, mendorong pihak berkuasa memperketatkan sekatan ke atas aktiviti pembinaan dan perindustrian.

Menggambarkan keadaan itu sebagai “sangat, sangat serius”, Mahkamah Agung pada Khamis meminta peguam mempertimbangkan penggunaan kemudahan pendengaran maya milik mahkamah.

“Ini (pencemaran udara) akan menyebabkan kerosakan kekal. Topeng muka sahaja tidak mencukupi,” kata Hakim P S Narasimha, menurut laporan India Today dan media lain.

Mahkamah Agung tidak memberi maklum balas segera kepada permintaan Reuters untuk mendapatkan ulasan.

Indeks kualiti udara mencatatkan bacaan 437 di stesen pemantauan paling hampir dengan Mahkamah Agung pada Khamis, menurut Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat India, yang meletakkan bacaan antara sifar hingga 50 dalam kategori “baik”.

Terdapat 34 hakim di Mahkamah Agung, salah satu daripada puluhan mahkamah dan tribunal yang ada di ibu negara itu, sebuah hab litigasi di mana ratusan peguam membahaskan kes.

Pada masa lalu, pihak berkuasa menyalahkan sebahagian besar jerebu yang menyelubungi bandar itu akibat asap daripada petani yang membakar jerami secara haram untuk membersihkan ladang mereka di negeri-negeri pengeluar makanan bersebelahan iaitu Punjab dan Haryana.

Pakar berkata banyak arahan Mahkamah Agung berkaitan kualiti udara sejak sedekad lalu tidak dilaksanakan dengan betul.

Kehidupan harian terjejas setiap tahun di beberapa bahagian Asia Selatan akibat jerebu, yang kesannya boleh memendekkan jangka hayat lebih lima tahun bagi setiap individu, menurut satu kajian pada 2023.

Penduduk bandar itu berkumpul pada hujung minggu untuk mengadakan protes yang jarang berlaku bagi menuntut tindakan segera menangani udara toksik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top