Misi Palestin di Sepanyol

Misi Palestin di Sepanyol

Bilbao: Pada satu ‘misi’ khas di Sepanyol, ketua jurulatih skuad Palestin, Ehab Abu Jazar bersama anak buahnya bakal beraksi dalam dua perlawanan persahabatan simbolik menentang pasukan kebangsaan Basque dan Catalonia, sebagai usaha mengetengahkan mesej keselamatan dan kebebasan buat rakyat mereka.

Berbusana tracksuit hitam dengan wisel di mulut, Abu Jazar mengetuai sesi latihan di pusat latihan Athletic Bilbao, Lezama, dengan penuh disiplin, sambil mempersiapkan pasukannya untuk aksi yang jauh lebih besar daripada sekadar perlawanan bola sepak, di stadium berprestij San Mames, disaksikan 50,000 penyokong yang menyokong perjuangan Palestin.

Seperti yang dilihat ketika protes pro Palestin dalam perlumbaan berbasikal Vuelta a Espana musim panas lalu, sokongan terhadap Palestin begitu kuat di wilayah itu, dan ia menjadi pentas pertama skuad Palestin beraksi di Eropah.

Ketika ini, Palestin menghuni ranking ke-98 dunia dan impian ke Piala Dunia pertama berkecai selepas tersingkir pada pusingan ketiga kelayakan Asia.

Namun perjuangan Abu Jazar lebih perit daripada apa yang terhidang di padang.

Dia kehilangan ramai ahli keluarga dalam perang Israel-Hamas, dan beberapa lagi masih berada dalam keadaan berisiko.

“Saya berasal dari Semenanjung Gaza, daripada sebuah keluarga besar. Kami sudah kehilangan hampir 200 syahid. Rumah saya sendiri musnah dalam perang ini,” katanya kepada AFP.

“Ibu saya sehingga hari ini masih tinggal di dalam khemah bersama adik-beradik, sepupu, jiran dan seluruh rakyat Gaza. Secara emosi dan psikologi, ia sangat menyakitkan.”

Kebanyakan pemainnya pula tidak pernah menjejakkan kaki ke Gaza.

Mereka bertebaran mewakili kelab di Qatar, Chile, Iceland dan Amerika Syarikat, menjadi antara wakil terakhir bola sepak Palestin yang musnah sepenuhnya selepas dua tahun pengeboman Israel, yang digambarkan pemerintah Sepanyol sebagai pembunuhan beramai-ramai, susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Sejak itu, tiada lagi liga, tiada kelab beroperasi, malah ratusan atlet tercedera atau terbunuh, termasuk bintang paling terkenal negara itu, Suleiman Al Obeid, 41, digelar ‘Pele Palestin’, yang maut ketika Israel menyerang orang awam yang sedang menunggu bantuan kemanusiaan.

“Sejak hari pertama, sukan menjadi sasaran. Semua infrastruktur sukan di Gaza dimusnahkan, 289 lokasi semuanya,” kata Presiden Persekutuan Bola Sepak Palestin, Jibril Rajoub.

“Seramai 1,100 atlet, pegawai, jurulatih dan pengadil dibunuh termasuk kapten kami (Al Obeid). Ribuan cedera dan ratusan lagi hilang.”

“Israel sepatutnya dikenakan sekatan,” tegas beliau, yang juga Setiausaha Agung Fatah.

“Kami datang dengan satu misi,” kata Abu Jazar sambil membetulkan keffiyeh di lehernya.

“Mesej kami kepada dunia — tekan pihak yang menjajah untuk hentikan pembunuhan beramai-ramai ini.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top