khairil.ashraf@hmetro.com.my
Penampang: Kenyataan dibuat Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick yang menyatakan Sabah boleh hilang kelebihan jika pengundi memilih calon parti nasional adalah suatu yang kurang bertanggungjawab.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kenyataan Ewon dilihat cuba untuk memecahbelahkan pemimpin parti tempatan dengan parti kebangsaan.
Katanya, Ewon seharusnya tidak bertindak, berfikiran mahupun bercakap seolah-olah anti Persekutuan.
“Padahal, dia sendiri pun sekarang ini masih mengambil gaji menteri Persekutuan. Dia belum letak jawatan. Dia sudah menyerahkan surat peletakan jawatan tetapi belum efektif lagi.
“Dia nak habiskan cutinya. Jadi dia ambil satu bulan lagi gaji. Jadi, janganlah ada sifat macam itu,” katanya kepada pemberita selepas program bersama Anthony Loke di ITCC Penampang, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, walaupun UPKO hanya mempunyai dua kerusi, Pakatan Harapan (PH) tetap memberikan ruang kepadanya sebagai presiden parti untuk menjadi menteri dan anggota kabinet.
“Jadi, sebagai menteri Persekutuan, menjadi anggota kabinet, perlulah ada satu sifat menyatupadukan rakyat, bukannya memecahbelahkan rakyat,” katanya.
Ahli Parlimen Seremban itu juga mengakui terkilan dengan sikap yang ditunjukkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkenaan.
Menurutnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung kini bukannya tempat untuk bermusuhan, sebaliknya medan memilih sebuah kerajaan stabil, kuat, boleh bekerja dan mempunyai hubungan baik antara Persekutuan dan negeri bagi membawa pembangunan kepada Sabah.
“Saya selalu katakan, kita semua rakyat Malaysia. Jangan ada yang nak mengapi-apikan perbezaan seperti ini.
“Kita rakyat Malaysia, walaupun saya bukan anak Sabah, tetapi saya menteri seluruh Malaysia. Jadi, tanggungjawab kita nak membangunkan seluruh negara. Kalau Sabah maju, Malaysia maju,” katanya.
Ewon dilapor membuat kenyataan yang mengatakan bimbang bahawa Sabah boleh hilang kelebihan Perlembagaan sekiranya pengundi memilih pemimpin tempatan daripada parti nasional yang menurutnya, “sebarang keputusan dibuat akhirnya bergantung kepada seorang presiden parti di seberang laut.”
© New Straits Times Press (M) Bhd



