Arab Saudi wajibkan vaksin mulai 1 Ogos

Arab Saudi wajibkan vaksin mulai 1 Ogos

RIYADH: Mulai 1 Ogos ini, individu yang hendak berurusan di institusi atau pejabat kerajaan, swasta dan menggunakan pengangkutan awam di Arab Saudi diwajibkan disuntik vaksin COVID-19.

Arahan terbaru itu bermatlamat meningkatkan inokulasi kerajaan, beberapa hari selepas pihak berkuasa menetapkan hanya pekerja sektor awam dan swasta yang sudah menerima vaksin dibenarkan kembali ke pejabat.

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan diterbitkan Saudi Press Agency, berkata orang ramai perlu divaksinasi untuk ‘mengunjungi mana-mana premis kerajaan atau swasta’ serta melakukan aktiviti hiburan atau sukan.

Katanya, arahan itu turut terpakai bagi individu mahu mengunjungi institusi pendidikan dan menggunakan pengangkutan awam.

“Tiga kategori dipertimbangkan ialah individu sudah menerima dua dos vaksin COVID-19, penerima satu dos pelalian, sekurang-kurangnya 14 hari sebelum perjalanan dan pesakit yang sembuh dalam tempoh enam bulan,” kata kenyataan itu.

Kementerian Kesihatan pula berkata, lebih 12 juta dos vaksin COVID-19 diberikan di negara dengan populasi lebih 34 juta itu.

Negara itu merekodkan lebih 435,000 jangkitan dan lebih 7,000 kematian akibat COVID-19 setakat ini.

Kelmarin, kerajaan membenarkan rakyatnya yang sudah menerima suntikan vaksin untuk melakukan perjalanan ke luar negara, selepas lebih setahun dilarang berbuat demikian.

April lalu, Arab Saudi mengumumkan, individu yang sudah menerima suntikan vaksin akan dibenarkan menunaikan umrah ketika Ramadan. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top