Rumah pempengaruh media sosial dipecah masuk, kerugian hampir RM360,000

Rumah pempengaruh media sosial dipecah masuk, kerugian hampir RM360,000

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan suspek memecah masuk kediaman pempengaruh media sosial di Bandar Sungai Long, Kajang, hari ini yang mengakibatkan mangsa kerugian hampir RM360,000.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 9.03 pagi dan siasatan awal mendapati kediaman itu dipecah masuk ketika pemiliknya tiada di rumah.

Menurutnya, pengadu iaitu seorang penjawat awam lelaki berusia 32 tahun menyatakan barangan berharga termasuk barang kemas milik isterinya dan empat topi keledar jenama Shoei dan Arai hilang.

“Dua motosikal jenis Yamaha RXZ dan Yamaha LC135 V8 yang diletakkan di dalam stor belakang rumah turut dilarikan.

“Pasukan forensik polis hadir ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut dan kerugian keseluruhan dianggarkan hampir RM360,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naazron berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Sharulhasram Ramli di talian 017-2530380 untuk membantu siasatan.

Terdahulu, pempengaruh media sosial, Nanad Bebe berkongsi di media sosial miliknya mengenai kejadian dan turut memuat naik gambar beberapa barangan yang hilang serta memohon orang ramai membantu jika terlihat barangan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top