Sebuah lagi kapal pengangkut pesawat AS dihantar ke Laut Caribbean

Sebuah lagi kapal pengangkut pesawat AS dihantar ke Laut Caribbean

Washington: Sebuah kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) dilaporkan kini berada di Laut Caribbean bagi memperkukuh kempen antinarkotik, menurut pengumuman tentera negara itu pada Ahad.

Langkah itu dijangka menimbulkan kemarahan Venezuela selepas pasukan AS menyerang sebuah lagi bot dadah yang didakwa di timur Lautan Pasifik.

Presiden Donald Trump memerintahkan, peningkatan kehadiran tentera di Caribbean sebagai sebahagian daripada inisiatif antipenyeludupan, namun spekulasi timbul bahawa Washington mungkin mempertimbangkan campur tangan ketenteraan terhadap pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro.

Dalam pada itu, United States Southern Command (SOUTHCOM) mengesahkan, United States Ship (USS) Gerald R Ford Carrier Strike Group sudah memasuki kawasan tanggungjawabnya.

SOUTHCOM menyatakan, langkah itu mengikuti arahan Trump untuk membongkar Organisasi Jenayah Transnasional dan menentang keganasan dadah demi mempertahankan tanah air.

Difahamkan, kumpulan serangan itu termasuk kapal pengangkut pesawat AS yang paling canggih, dua kapal perusuh berpandu dan kapal sokongan serta pesawat lain.

Penempatan ini dinamakan ‘Operasi Southern Spear’ dan menyertai beberapa kapal perang lain yang sudah berada di Caribbean.

Susulan itu juga, sebagai sebahagian daripada operasi itu, serangan baharu pada Sabtu di timur Lautan Pasifik mengakibatkan tiga suspek maut.

Sejak September, pasukan AS sudah membunuh sekurang-kurangnya 83 orang yang dituduh mengangkut dadah di perairan antarabangsa.

AS bagaimanapun, tidak mendedahkan butiran untuk menyokong dakwaannya bahawa semua sasaran adalah penyeludup dan pakar menilai kematian itu sebagai pembunuhan di luar undang-undang.

Sementara itu, Caracas melihat peningkatan kehadiran tentera AS sebagai ancaman yang jelas dan mengkritik latihan ketenteraan bersama di Trinidad dan Tobago sebagai tidak bertanggungjawab.

Media melaporkan, AS tidak mengiktiraf Maduro sebagai presiden sah Venezuela dan menawarkan ganjaran AS$50 juta (kira-kira RM206.81 juta) untuk penangkapannya.

Trump berkata, beliau ‘seakan-akan’ membuat keputusan mengenai Venezuela tetapi menegaskan usaha menghentikan aliran dadah mencapai kemajuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top