am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kerajaan negeri akan menyemak semula pakej pengurusan mayat bukan Islam bagi memastikan kadar caj dikenakan adalah munasabah dan mampu ditanggung waris.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMA) Selangor, Ng Sze Han berkata perkara itu akan dibincangkan secara menyeluruh bersama pihak berkepentingan.
“Kemudahan krematorium awam dilaksana bagi memastikan akses menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40) mampu menggunakan perkhidmatan pembakaran mayat pada kadar yang berpatutan.
“Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan bekerjasama dengan pihak swasta bagi menawarkan harga lebih rendah untuk penduduk yang memerlukan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr G Gunarajah (PH-Sentosa) berhubung pembangunan atau penambahbaikan krematorium di Selangor, serta memastikan akses kepada krematorium untuk semua golongan termasuk B40.
Sze Han berkata, kerajaan negeri sudah mengarahkan semua PBT mengenal pasti lokasi sesuai bagi pembinaan krematorium baharu bagi memenuhi keperluan penduduk.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa kekangan termasuk jarak yang tidak sesuai antara kawasan kediaman dan komersial. Jadi sekarang kita masih dalam proses mengenal pasti lokasi sesuai.
“Setakat Oktober, Selangor memiliki lapan krematorium awam iaitu di Shah Alam, Klang, Petaling Jaya, Sepang dan Subang Jaya (dua). Dua lagi dalam proses pembinaan iaitu di Kuala Langat dan Hulu Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, Sze Han berkata, pelaksanaan program Khairat Darul Ehsan (KDE) merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi meringankan urusan pengebumian, dengan menyediakan bantuan tunai RM1,000 kepada rakyat berusia 50 tahun ke atas serta golongan kelainan upaya (OKU).
© New Straits Times Press (M) Bhd




