KKM tumpu isu obesiti dalam kalangan kanak-kanak

KKM tumpu isu obesiti dalam kalangan kanak-kanak

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak kini bukan hanya membabitkan kekurangan zat makanan (KZM), malah turut membabitkan peningkatan kes obesiti akibat pengambilan makanan tidak berzat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata masalah itu dilihat semakin ketara dan memberi kesan kepada perkembangan serta kesihatan jangka panjang generasi akan datang.

“Namun apa yang menjadi masalah kini adalah ibu bapa ini tidak membawa anak-anak ini ke klinik. Maka ia menyukarkan KKM untuk mengagihkan bakul makanan dan juga memberi panduan serta nasihat kepada mereka.

“Berikutan itu, KKM akan cuba untuk mendapatkan sokongan daripada Kementerian Ekonomi supaya kita dapat mempertimbangkan satu program yang lebih komprehensif berkenaan makanan sihat dan menjalinkan kerjasama antara kementerian dan juga industri yang ingin membantu menyumbang dalam program ini,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai masalah KZM dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

Dalam pada itu, Lukanisman berkata buat masa ini pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh KKM dalam membendung permasalahan berkenaan termasuk program di bawah Bantuan Makanan Sihat.

“Ia termasuk Program Pemulihan Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan yang lebih dikenali sebagai Program Bakul Makanan yang dilaksanakan sejak 1989 daripada keluarga miskin tegar.

“Program ini menyasarkan kanak-kanak berusia enam bulan sehingga enam tahun yang mengalami masalah KZM serta diperluaskan kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin.

“Program Community Feeding pula adalah satu program bersasar kepada kanak-kanak Orang Asli di pedalaman dan kanak-kanak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) berumur setahun hingga enam tahun yang berada di lokaliti terpilih iaitu tempat tertinggi masalah KZM.

“Kita juga laksanakan Program Bantuan Susu kepada kanak-kanak berusia enam bulan sehingga enam daripada keluarga miskin tegar dan miskin yang berisiko mengalami masalah KZM,” katanya.

Oleh itu, Lukanisman berkata KKM akan terus menambah baik program sedia ada termasuk mempertingkatkan kolaborasi antara kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO) serta memperkasakan program literasi pemakanan dalam kalangan komuniti bagi mempertingkatkan kesedaran terhadap pemakanan sihat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top