Nilai rampasan 5 operasi PGA Briged Tenggara cecah RM826 juta

Nilai rampasan 5 operasi PGA Briged Tenggara cecah RM826 juta

am@hmetro.com.my

Kuantan: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merekodkan nilai rampasan lebih RM826 juta menerusi lima operasi dilaksanakan pasukan itu di tiga negeri di Pantai Timur antara Januari hingga 15 November lalu.

Komandernya Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan itu hasil Op Kontraban, Op Hazard, Op Bersepadu Khazanah, Op Sawmill serta Op Taring Wawasan di sempadan Malaysia dan Thailand di Kelantan.

Menurutnya, semua rampasan itu membabitkan pelbagai jenis barang termasuk kenderaan disyaki terbabit dengan kegiatan menyalahi undang-undang.

Katanya, jumlah rampasan itu turut merekodkan peningkatan 800 peratus berbanding nilai rampasan hanya lebih RM100 juta sepanjang 2024.

“Rampasan terbesar diraih kira-kira RM432 juta menerusi Op Hazard pada 21 Mei lalu hasil serbuan di kilang pemprosesan sisa elektronik di Paloh Hilai, Pekan dan rampasan rokok tidak bercukai pada 25 September, Kampung Padang, di sini.

“Selain itu rampasan lain membabitkan penyeludupan barang bersubsidi di sempadan Malaysia dan Thailand.

“Sejak Januari lalu juga PGA Briged Tenggara menahan 2,085 individu kerana terbabit dengan 2,210 kes menyalahi undang-undang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Komander Briged Tenggara PGA, di sini, hari ini.

Majlis disaksikan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.

Ahmad Radzi berkata, berdasarkan rekod juga rampasan barang bersubsidi diseludup juga mencatatkan peningkatan.

Menurutnya, sebahagian besar individu terbabit dengan kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi ditahan di sempadan negara adalah penduduk tempatan.

Katanya, beliau tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan melanggar undang-undang dan akan mengalas tanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan kecemerlangan pasukan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap anggota dan pegawai terbabit dengan perbuatan salah laku, perlanggaran disiplin, integriti serta menyalahi undang-undang.

“Sepanjang tahun ini, 20 kertas siasatan tatatertib dibuka terhadap anggota dan pegawai kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah, kesalahan jenayah dan tata tertib.

“Daripada jumlah itu, tiga anggota ditahan kerja, empat digantung kerja dan lima dibuang kerja kerana terbabit dengan dengan penyalahgunaan dadah dan pembolosan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top