Operasi banteras kartel dadah dibuat secara sulit, elak sindiket ubah modus operandi

Operasi banteras kartel dadah dibuat secara sulit, elak sindiket ubah modus operandi

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Banyak operasi membabitkan kartel dadah rentas negara yang ditumpaskan dilakukan secara sulit jauh daripada perhatian umum bagi mengelakkan sindiket mengubah taktik dan melepasi radar pihak berkuasa.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi sulit, perkongsian risikan dan kerjasama rentas sempadan secara senyap sudah lama menjadi tunjang usaha Malaysia memerangi pengedaran dadah, meskipun hanya sedikit daripadanya didedahkan kepada umum.

“Kebanyakan operasi melibatkan kartel dilakukan secara sulit. Kita tidak hebahkan usaha ini kerana apabila kita buat begitu, sindiket akan menaik taraf modus operandi mereka dan menyukarkan kita mengesan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Razarudin berkata, Malaysia menjalin kerjasama operasi yang mendalam dengan Australia melalui Task Force Tiger, selain New Zealand, Korea Selatan dan Indonesia, jauh sebelum pendedahan terkini mengenai aktiviti kartel menjadi perhatian umum.

“Kita sudah ada perjanjian dengan Australia ketika saya menjadi Ketua Polis Negara di mana Task Force Tiger telah wujud sejak bertahun-tahun,” katanya sambil menambah bahawa pasukan polis sudah lama memantau pengedar dari semua negara ini.

Beliau berkata, banyak rampasan berimpak tinggi, termasuk yang bernilai hampir RM1 bilion, adalah hasil kerjasama sulit berterusan antara agensi Malaysia dan rakan antarabangsa.

“Ini bukan baru bermula, tangkapan dibuat sejak dulu,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa pengaruh kartel sudah bertapak sejak 20 tahun lalu, Razarudin menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan sememangnya telah dijalankan, cuma tidak selalu dihebahkan.

“Bukan tak ada apa-apa berlaku selama 20 tahun. Tangkapan dibuat sebelum zaman saya lagi,” katanya.

“Tetapi pengarah-pengarah atau Ketua Polis Negara sebelum ini memilih untuk tidak bercakap secara terbuka mengenai kartel. Mereka tidak mahu dedahkan operasi ini kepada umum,” katanya.

Katanya, banyak tangkapan berkaitan kartel sengaja direndahkan profilnya bagi melindungi integriti siasatan serantau yang sedang berjalan.

“Malaysia kekal terikat rapat dengan pasukan petugas serantau,” katanya.

Katanya, kerjasama antarabangsa adalah penting kerana kartel dadah beroperasi secara fleksibel merentas sempadan, menggunakan Malaysia sebagai titik transit dan destinasi.

“Pasukan siasatan dan operasi kita sentiasa menjejak pengedar sama ada dari Malaysia, Australia, Korea, New Zealand atau Indonesia.

“Polis ada maklumat, cuma kita tidak siarkan,” katanya.

Media semalam melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujudnya sebuah kartel besar menyeludup masuk dadah ke negara ini yang didengarinya sejak 20 tahun lalu dan tidak ada tindakan.

Anwar berkata, selepas beliau menjadi Perdana Menteri dan menunggu selama setahun, namun tidak ada laporan mengenai kartel besar yang membawa dadah itu menerusi kontena.

Beliau turut membangkitkan persoalan berkenaan kepada agensi yang bertanggungjawab, susulan ramai orang bercakap mengenai perkara itu.

Menurutnya, daripada perkara itu juga, wujudnya sindiket serta ahli politik yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam masa sama memuji agensi penguat kuasa di negara ini yang sudah mengambil tindakan untuk membanteras kegiatan itu.

Tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top