Murali Abdullah tidak berkerja selepas alami serangan jantung

Murali Abdullah tidak berkerja selepas alami serangan jantung

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah, Murali Abdullah, 62, memaklumkan keadaan kesihatannya kini semakin sihat selepas mengalami serangan jantung pada Jun lalu, namun tiada pihak produksi yang mahu mengambilnya bekerja.

Ujar bapa kepada dua anak ini, dia masih lagi ingin bekerja sebagai pengarah, tetapi hingga kini tiada pihak produksi yang menghubunginya dan sudi memberi peluang untuk berkarya.

“Sekarang ini, saya memang tiada kerja. Tapi Alhamdulillah ada beberapa kawan yang membantu dari segi kewangan antaranya Datuk Sidi Oraza, termasuk keluarga dan anak saya juga.

“Dari segi pendapatan, saya tak pernah laparlah. Kawan-kawan ada sahaja bantu. Dua anak saya pun masing-masing sudah bekerja dan dapatlah bantu bayar sewa rumah serta sebagainya.

“Alhamdulillah, anak perempuan pun kini tinggal serumah dengan saya dan menjaga saya sejak dia datang dari Kedah apabila dapat bekerja di ibu kota. Anak lelaki saya sudah berumah tangga,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga mengenai anak perempuannya, Puteri Nur Alysa, 24, yang menarik minat segelintir netizen kerana cantik dan ingin jadi menantu, Murali berkata, dia tidak mencampuri urusan pilihan hati anaknya.

“Anak perempuan saya masih belum berkahwin lagi. Malah, soal jodoh ini terpulang kepada anak saya. Dia suka, sukalah. Saya tak boleh nak kata apa lah.

“Tapi, biarlah mereka yang pilih sendiri,” katanya memaklumkan anak lelaki, Muhammad Emil Mahadil, 28, berkahwin dengan pasangannya yang sama universiti di Mesir.

Mengulas juga perancangan akan datang kerjaya seninya, Murali berkata dia bercadang mahu mengarahkan filem bergenre kerohanian Islamik, namun perlu mencari dana terlebih dulu.

Selain mengalami serangan jantung pada malam Aidiladha lalu, pada hujung November 2018, Murali pernah mengalami sakit saraf sehingga tangan kanannya tidak boleh bergerak.

Sepanjang berhadapan ujian kesihatan itu, Murali menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sehingga pulih, termasuk mendapatkan ubat-ubatan diperlukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top