mhafis@mediaprima.com.my
Bangi: Usaha memerangi rasuah tidak akan berjaya tanpa keberanian politik, ketegasan penguatkuasaan dan kesedaran rakyat mengenai kepentingan integriti dalam pembangunan negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, isu rasuah di Malaysia sudah wujud sejak awal pasca-kemerdekaan apabila menjadikan soal pembangunan dan kemajuan ekonomi sebagai satu keutamaan.
“Bagaimanapun, ketegasan tokoh pemimpin seperti bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) pertama, Tan Sri Harun Hashim menjadi asas kuat kepada pembentukan budaya integriti dalam negara.
“Dalam era 1980-an dan 1990-an, menyaksikan tindakan tegas penguatkuasaan tanpa campur tangan politik namun berbeza dengan situasi masa kini yang lebih kompleks serta peningkatan sikap materialistik dalam masyarakat,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2025 dan Ceritera Pemimpin 2.0 Bakti Disemai, Bukti Dituai anjuran Felda di Hotel Tenera, di sini hari ini.
Beliau berkata, ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memerangi penyelewengan hasil negara memberi ruang kepada SPRM bertindak tegas terhadap sebarang anasir menyebabkan negara alami kerugian berbilion ringgit malah pengiktirafan Perdana Menteri menjadi dorongan besar kepada seluruh warga SPRM untuk terus berusaha memerangi rasuah.
“Peranan SPRM turut diperkukuhkan dengan dipantau oleh lima badan pemantau bebas termasuk Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang berada di bawah Parlimen, sekali gus menolak dakwaan bahawa SPRM tidak berada di bawah pengawasan legislatif.
“FELDA juga perlu menonjolkan pencapaian untuk meningkatkan kepercayaan rakyat serta pelabur terhadap peranannya sebagai agensi strategik negara yang menjadi antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.
Beliau menyeru supaya integriti organisasi diperkasa dalam usaha meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara serta bersama-sama menjayakan inisiatif ‘Keep Malaysia Clean’ ke arah menjadikan negara bebas rasuah.
Sementara itu, Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, menekankan kepentingan memahami tugas dan tanggungjawab bersama serta meletakkan negara pada kedudukan yang dihormati di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata,CPI menjadi kayu ukur keyakinan pelabur dan kejayaan negara dalam tadbir urus memerlukan kerjasama semua pihak meliputi agensi kerajaan, kementerian, sektor korporat serta golongan profesional, bukan diletakkan di bawah tanggungjawab SPRM semata-mata.
“Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) FELDA diketuai oleh Pengarah Besar FELDA, DatukDr Suzana Idayu Wati Osman disusuli dengan majlis mendatangani dokumen IBR, sebagai bukti komitmen FELDA terhadap budaya integriti dan ketelusan,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM, Lim Bee Kean; Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Datuk Sulong Jamil Mohamed Shariff; Setiausaha Bahagian Kawal Selia FELDA, Ahmad Tarmizi Zakaria; ahli-ahli Lembaga dan pengerusi anak syarikat Kumpulan FELDA serta barisan pengurusan kanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




