De la Fuente enggan terlalu selesa, tetap berpijak di bumi nyata

De la Fuente enggan terlalu selesa, tetap berpijak di bumi nyata

Seville: Pengurus Sepanyol, Luis de la Fuente enggan dibuai keyakinan melampau meskipun skuad bimbingannya kini berada pada prestasi mengagumkan sehingga dianggap pilihan utama menjulang Piala Dunia 2026 selepas mencipta rekod baharu tanpa kalah.

Pasukan nombor satu dunia itu melanjutkan rekod tanpa kekalahan kepada 30 perlawanan selepas membelasah Georgia 4-0, sekali gus memecahkan rekod 29 perlawanan milik era emas Vicente del Bosque antara 2010 hingga 2013.

Rentetan keputusan positif itu turut merangkumi kempen Euro yang sempurna apabila Sepanyol memenangi kesemua tujuh perlawanan untuk meraih gelaran keempat, rekod tertinggi dalam sejarah kejohanan, di Jerman tahun lalu.

Mereka juga mendominasi saingan kelayakan Piala Dunia dengan memenangi semua lima perlawanan, menjaringkan 19 gol serta tidak melepaskan sebarang gol.

Kutipan 15 mata maksimum dalam Kumpulan E menjadikan mereka hampir pasti layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Turkiye yang berada di tangga kedua perlu menang 7-0 pada Rabu untuk merampas kedudukan teratas, sesuatu yang mustahil.

Bercakap kepada media menjelang aksi menentang Turkiye di Seville, De la Fuente mengakui tekanan apabila Sepanyol dianggap pilihan utama, namun menegaskan pemain perlu kekal realistik.

“Ini bukan soal menjadi pasukan pilihan mutlak. Sebenarnya, kejayaan ialah apabila kita mempunyai peluang untuk bertarung merebut kemenangan. Garis pemisah antara menang dan kalah itu sangat tipis,” katanya.

“Tiada pasukan benar-benar menjadi pilihan jelas di Piala Dunia. Dahulu tumpuan diberikan kepada pasukan lain, tetapi kini Sepanyol berada dalam kelompok teratas.”

Menurutnya, kejayaan mereka bukan kebetulan tetapi hasil ekosistem bola sepak yang lengkap dan konsisten.

“Rahsia kami adalah kerja yang cemerlang di seluruh struktur bola sepak negara. Dari kelab utama hingga ke persekutuan, semuanya berpandukan idea dan model permainan yang sama. Latihan, pelaburan dan keyakinan terhadap falsafah itu,” katanya.

Walaupun Sepanyol berada dalam situasi selesa, De la Fuente menegaskan tiada ruang untuk berehat atau melakukan rombakan besar.

“Kami akan berdepan perlawanan ini dengan penuh tanggungjawab. Demi prestij. Untuk membuktikan apa yang telah kami capai. Kami mahu kekal sebagai pasukan nombor satu dunia,” jelasnya.

“Tiada hadiah percuma. Di sini, semua pemain perlu ‘mendapatkan’ tempat mereka. Semua mahukan untuk bermain, dan semua layak berdasarkan kerja keras mereka.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top