Festival Hausboom 2025 : Kesan Sosial Terhadap Belia – Konsert Melalui Kanta Masyarakat Di Malaysia

Petaling Jaya: 11 hingga 12 Oktober 2025, ribuan pengunjung membanjiri perkarangan MAEPS Serdang untuk merasai sendiri kehangatan yang dibawa penggiat muzik sejati di nusantara. AirAsia Hausboom Festival 2025 kembali dengan skala yang lebih besar bagi memberikan kemeriahan yang berganda kepada segenap rakyat Malaysia. Festival yang menggamatkan susasan di MAEPS Serdang ini menampilkan barisan artis dan beberapa buah band ternama di Malaysia dan Indonesia. Bukan sekadar muzik semata-mata, festival ini juga mengetengahkan sokongan terhadap ratusan usahawan tempatan melalui Hausboom Lokal Fest dan Foodies yang memberikan cita rasa tempatan kepada pengunjung. Tidak dinafikan lagi bahawa Festival yang berlangsung selama dua hari ini memberikan satu peluang yang besar untuk usahawan tempatan yang ingin mengetengahkan produk mereka sekaligus dapat menyumbang kepada Pembangunan komuniti kreatif tempatan. Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom, Azri Zahier Azmi yang juga dikenali sebagai ‘John Lemon’ berkata, festival tahun ini bukan sekadar hiburan muzik semata-mata, sebaliknya satu pengalaman menyeluruh untuk semua pengunjung.

Festival kali ini agak memberi satu kelainan yang mana terdapat elemen solidariti sosial. Semasa persembahan, peminat dan artis turut melaungkan sokongan terhadap isu Palestin. Sebagai contoh, laungan ‘Free Palestine’ bergema di perkarangan MAEPS itu. Hal ini menunjukkan satu aspek sosial yang sangat postif di mana majoriti belia yang hadir ke festival ini menyatakan sokongan dan solidariti terhadap saudara-saudara di Palestin yang menghadapi penindasan Zionis. Festival ini juga membuktikan satu langkah yang postif yang mana ia cuba menjadi platform budaya, fesyen, makanan dan gaya hidup yang menyatukan pelbagai golongan umur dan latar belakang. festival ini menjadi titik pertemuan antara muzik, fesyen, makanan dan budaya kontemporari. Namun di sebalik sorotan warna-warni dan gegak gempita hiburan, wujud kesan sosial yang menarik untuk diteliti, khususnya terhadap golongan belia yang menjadi sasaran utama acara ini.

Seperti acara hiburan besar lain, Festival Hausboom tidak terlepas daripada pandangan kritikal sebahagian masyarakat yang melihatnya melalui lensa keagamaan. Ada pihak yang bimbang bahawa suasana hiburan, muzik rancak dan gaya berpakaian serta pergaulan bebas antara lelaki dan wanita mungkin bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang dipegang kuat oleh sebahagian masyarakat Malaysia. Walaupun tiada laporan rasmi tentang pelanggaran garis panduan agama, perbincangan ini mencerminkan ketegangan sosial antara moderniti budaya dan nilai tradisional. Dalam hal ini, penganjur wajar dipuji sekiranya mereka menyediakan kemudahan seperti ruang solat dan mengurus jadual acara dengan mengambil kira waktu ibadah. Pendekatan sensitif terhadap agama boleh mengurangkan jurang persepsi negatif serta menampilkan contoh bahawa hiburan moden mampu berjalan seiring dengan nilai moral dan agama. Pengguna-pengguna laman Threads juga tidak terkecuali daripada perbincangan mengenai isu festival ini. Ada segelintir yang menyokong dan ada juga segelintir yang mahu festival yang mengandungi konsert seperti ini dihentikan. Isu ini menjadi lebih besar apabila Azri Zahier Azmi, menerusi laman sosial beliau mempersoalkan mengenai percampuran antara lelaki dan Perempuan di konsert. Bahkan beliau menambah di laman Instagram beliau di mana percampuran antara lelaki dan Perempuan juga terjadi di dalam majlis ilmu. Rata-rata netizen yang tidak berpuas hati dengan kenyataan beliau mengingatkan Ketua Pegawai Eksekutif Hausboom tersebut supaya tidak menyamakan majlis ilmu dengan konsert.

Walau bagaimanapun, hukum menghadiri konsert itu sendiri merupakan suatu hukum yang jelas. Bergantung pada jenis hiburan dan kandungan konsert itu sendiri, sesetengah konsert boleh dianggap haram sekiranya ia melibatkan unsur syirik, maksiat atau tidak mengikut garis panduan syarak yang ditetapkan. Adapun mengenai konsert di festival ini, tiada sebarang laporan rasmi yang menyebut bahawa Festival Hausboom 2025 telah didakwa oleh pihak agama atau pihak berkuasa tempatan atas isu khusus seperti pelanggaran agama atau norma sosial.

Secara keseluruhannya, Festival Hausboom 2025 membawa kesan sosial yang signifikan terhadap belia Malaysia. Ia memperkukuh rasa kebersamaan, memupuk kreativiti, dan merangsang ekonomi kreatif tempatan. Namun, ia juga menimbulkan cabaran nilai tentang bagaimana menyeimbangkan antara ekspresi bebas dengan tanggungjawab sosial. Festival ini mungkin menjadi simbol kebangkitan budaya moden Malaysia yang lebih berani, terbuka dan beridentiti. Tetapi bagi masyarakat luas, ia juga mencetuskan keperluan dialog berterusan tentang sempadan moral, budaya dan keagamaan dalam konteks hiburan massa. Ia juga  menjadi cerminan wajah baharu belia Malaysia yang berani, kreatif dan bersemangat tinggi. Dapat disimpulkan di sini bahawa hiburan boleh menjadi alat pembangunan sosial apabila digabungkan dengan keusahawanan dan budaya tempatan. Namun, keseimbangan antara hiburan dan nilai moral khususnya nilai-nilai keagamaan harus terus dipelihara agar festival sebegini tidak sekadar menjadi pesta muzik, tetapi medan pembentukan jati diri dan perpaduan sosial generasi muda negara.

Oleh: Muhammad Yusman Haqim Bin Yusof
Pelajar Tahun 3
Jabatan Usuluddin dan Dakwah
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
yusmandon2004@gmail.com

Scroll to Top