AS akan jual F-35 kepada Arab Saudi

AS akan jual F-35 kepada Arab Saudi

Washington: Presiden Donald Trump pada Isnin mengumumkan bahawa Amerika Syarikat (AS) akan menjual jet pejuang siluman F-35 kepada Arab Saudi, sehari sebelum Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman melawat Rumah Putih.

“Kami akan melakukannya. Kami akan menjual F-35,” kata Trump kepada pemberita apabila ditanya sama ada Washington akan bersetuju menjual jet itu kepada Riyadh dalam mesyuarat Selasa. “Mereka adalah sekutu yang hebat,” katanya.

Riyadh sudah lama berusaha untuk membeli jet pejuang F-35 yang kini hanya dimiliki oleh Israel di Asia Barat.

Pegawai Israel menyuarakan kebimbangan mengenai penjualan pesawat itu kepada Arab Saudi walaupun terdapat desakan untuk negara itu memulihkan hubungan.

Dalam satu lagi isu yang menjadi pertikaian sebelum ini, satu sumber yang biasa dengan rundingan itu berkata, Trump dan putera mahkota dijangka menandatangani perjanjian rangka kerja untuk kerjasama nuklear awam.

Arab Saudi, salah satu pengeluar minyak utama dunia menyatakan ia mahu mempelbagaikan sumber selain bahan api fosil dan sedang mencari teknologi canggih AS melalui apa yang dipanggil “perjanjian 123.”

Namun, perjanjian sedemikian tertakluk kepada peraturan ketat terhadap percambahan (proliferasi) dan Kongres dijangka akan meneliti sebarang perjanjian penuh.

Arab Saudi menegaskan ia tidak berhasrat memiliki senjata nuklear dan baru-baru ini memeterai perkongsian pertahanan yang dipertingkatkan dengan Pakistan, sebuah kuasa nuklear.

Setakat ini, AS hanya membenarkan penjualan F-35 kepada sekutu terdekatnya termasuk beberapa negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Eropah dan Israel.

Washington mengeluarkan Turkiye daripada program F-35 pada 2019 selepas pembelian sistem pertahanan udara Rusia oleh Ankara mencetuskan kebimbangan bahawa Moscow boleh memperoleh teknologi pesawat itu ‘menerusi pintu belakang’.

Putera Mahkota Arab Saudi dan pemerintah ‘de facto’ itu membuat lawatan pertamanya ke AS sejak pembunuhan kolumnis Washington Post, Jamal Khashoggi pada 2018 oleh ejen Arab Saudi yang mencetuskan kemarahan global dan menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara untuk seketika.

Putera Mohammed yang menjadi tuan rumah kepada Trump awal tahun ini dijangka akan menuntut jaminan keselamatan, manakala Trump akan menggesanya untuk memulihkan hubungan dengan Israel.

Bagaimanapun, Arab Saudi tidak mungkin bersetuju untuk memulihkan hubungan berkenaan pada peringkat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top