Petaling Jaya: Mutakhir ini, isu berkaitan dengan Palestin bukan sekadar suatu konflik geopolitik sahaja, akan tetapi ia merupakan suatu krisis kemanusiaan dan penindasan yang menyayat hati yang memberi kesan yang mendalam khususnya terhadap warga Palestin dan juga umat Islam di seluruh dunia. Penindasan terhadap rakyat Palestin ini telah berlangsung selama berpuluh tahun yang lalu akibat daripada penjajahan berterusan oleh rejim Zionis, sokongan dan dorongan kuasa besar dunia terhadap dasar kekejaman dan penindasan dan juga kegagalan masyarakat di seluruh dunia dalam menegakkan hak-hak rakyat dan hak asasi manusia. Dalam konteks ini, mahasiswa sebagai golongan intelektual muda bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam memperkasakan solidariti ummah terhadap Palestin serta menyokong perjuangan mereka melalui pelbagai pendekatan-pendekatan yang berkesan. Dengan kelebihan akses kepada ruang-ruang ilmu, jaringan sosial yang luas, mahasiswa berada dalam posisi yang strategik untuk menjadi agen perubahan yang mampu menggerakkan kesedaran masyarakat sekarang.
Mahasiswa merupakan suatu kelompok yang memiliki akses-akses terhadap ilmu pengetahuan yang berdaya saing. Mereka juga berperanan sebagai agen kesedaran intelektual yang menyampaikan maklumat atau informasi yang tepat dan sahih mengenai isu-isu khususnya isu berkaitan Palestin ini terhadap masyarakat umum. Pendekatan seperti forum-forum akademik, seminar atau diskusi secara terbuka adalah salah satu kaedah terbaik dalam menjadi wadah agen yang meberikan kesedaran kepada masyarakat sekeliling. Kesannya, masyarakat serta mahasiswa sendiri secara tidak langsung mendapat pengetahuan yang lebih jelas berkenaan dengan isu Palestin seperti bagaimana konflik itu bermula, campur tangan kuasa asing berlaku dan lain-lain yang menjadi perbualan dari saban tahun. Lebih daripada itu, peranan mahasiswa sebagai agen kesedaran tidak terhad kepada ruang fizikal semata-mata, bahkan boleh diperluaskan melalui platform digital seperti media sosial, blog ilmiah, dan saluran podcast. Dengan memanfaatkan teknologi dan kemahiran komunikasi, mahasiswa dapat menyampaikan mesej solidariti dan fakta sejarah kepada khalayak yang lebih luas. Ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap isu Palestin, malah membina budaya celik maklumat dan kepekaan terhadap isu kemanusiaan global dalam kalangan generasi muda.
Mahasiswa juga patut aktif dalam gerakan-gerakan advokasi yang menuntut bela keadilan demi bumi Palestin yang tercinta. Contohnya, mahasiswa menganjurkan demonstrasi aman, kempen melalui media sosial serta penulisan akademik dan lain-lain yang memberi kesedaran kepada masyarakat setempat. Aktivisme ini bukan sahaja menunjukkan sokongan moral terhadap mereka, akan tetapi memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan diplomatik yang lebih tegas serta tangkas. Kempen seperti kempen Free Palestine atau kempen yang mengaitkan buah tembikai sebagai ganti kepada bendera negara Palestin juga adalah salah satu buah fikiran yang kreatif sebagai suatu simbol alternatif. Hal ini kerana apabila buah tembikai itu dipotong, ia memperlihatkan warna merah, putih dan hijau. Dalam erti kata lain, ia melambangkan warna-warna bendera negara Palestin sendiri. Simbol ini bukan sahaja berfungsi sebagai medium meluahkan rasa solidariti yang selamat dan berkesan dalam ruang digital yang sering kali berhadapan dengan sekatan, malah turut mencerminkan kebijaksanaan mahasiswa dalam mengadaptasi bentuk advokasi yang bersifat simbolik dan berunsur budaya.
Selain daripada advokasi, mahasiswa juga perlu terlibat dalam gerakan-gerakan kemanusiaan dan sukarelawan melalui kaedah yang lebih beretika, selaras dengan apa yang terjadi ketika ini iaitu kekangan semasa yang menghalang pihak berwajib menghantar barang keperluan atau bantuan secara fizikal seperti memberi makanan, minuman, pakaian dan ubat-ubatan ke negara Palestin. Dalam keadaan ini, mahasiswa wajar mengalihkan fokus kepada pengumpulan dana atau memberikan sokongan kepada organisasi antarabangsa yang sah yang mempunyai akses kepada kawasan-kawasan yang konflik melalui saluran kemanusiaan dan diplomatik yang diiktiraf oleh antarabangsa. Sokongan ini boleh dizahirkan dengan pelbagai bentuk inisiatif. Contohnya, penganjuran kempen kutipan dana dalam talian, penjualan amal oleh persatuan pelajar serta kolaborasi dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai rekod yang sah seperti MyCARE dan MAPIM. Di samping itu, mahasiswa juga boleh menganjurkan program pendidikan awam seperti pameran interaktif, tayangan dokumentari, dan bengkel kesedaran yang menampilkan naratif sebenar rakyat Palestin sekarang, sekaligus membina kefahaman mendalam dalam kalangan masyarakat kampus. Melalui gerakan kemanusiaan ini, mahasiswa dapat menyumbang secara aktif dalam usaha mempertahankan maruah dan hak rakyat Palestin walaupun dalam keadaan terbatas dari segi fizikal dan logistik.
Seterusnya, mahasiswa yang terlibat dalam bidang akademik dan penyelidikan memainkan peranan penting dalam memperkukuh solidariti ummah terhadap Palestin melalui penghasilan penulisan ilmiah yang bersifat kritikal dan analitikal yang berasaskan fakta. Dalam konteks ini, mereka boleh menjalankan kajian akademik yang menyentuh pelbagai cabang konflik Palestin seperti sejarah penjajahan, pelanggaran hak asasi manusia, dasar luar negara terhadap Palestin, dan lain-lain lagi. Kajian yang dilakukan oleh mahasiswa ini bukan sahaja menyumbang kepada wacana keilmuan, ia juga berpotensi menjadi rujukan penting dalam penyelidikan sejarah pada masa yang akan datang, sekali gus menjadi penggerak kesedaran terhadap individu-individu yang membaca hasil penyelidikan mereka. Sebagai contoh, pelajar dalam bidang sejarah boleh meneliti naratif penjajahan dan penentangan rakyat Palestin dari era British hingga ke zaman kini. Pelajar undang-undang pula boleh mengkaji aspek perundangan antarabangsa berkaitan jenayah perang, status pelarian Palestin, dan pelanggaran Konvensyen Geneva oleh rejim Zionis. Kesannya, sumbangan akademik ini mampu membina asas pengetahuan yang kukuh untuk menyokong usaha diplomatik dan advokasi yang lebih berkesan. Ia juga membuktikan bahawa solidariti terhadap Palestin bukan sekadar bersifat emosional, tetapi boleh dizahirkan melalui ilmu, hujah dan komitmen intelektual yang berterusan.
Oleh: Muhammad Waqi Hannan Bin Hilmi
Mahasiswa Jabatan Sejarah Tamadun Dan Pendidikan Islam,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Email: waqi2003waqi@gmail.com



