FIFA arah FAM dedah dalang sebenar isu pemalsuan dokumen

FIFA arah FAM dedah dalang sebenar isu pemalsuan dokumen

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan dua siasatan dalaman dilakukan secara terperinci oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung isu pentadbiran sekretariat FAM serta status tujuh pemain yang digantung FIFA sebelum ini.

Arahan dan cadangan itu dinyatakan FIFA dalam ‘motivated decision’ atau atau alasan bertulis penuh yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Rayuan badan induk dunia itu.

Menerusi alasan bertulis penuh yang dikeluarkan FIFA awal pagi tadi, dokumen setebal 64 muka surat itu memaklumkan peranan sektetariat FAM perlu disiasat segera.

Ini termasuk, FIFA mahu dalang sebenar yang memalsukan dokumen tujuh pemain berkenaan didedahkan oleh FAM.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa mengarahkan Sekretariat untuk mengambil langkah segera bagi melancarkan satu siasatan formal terhadap operasi dalaman FAM.

“Siasatan ini bertujuan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab memalsukan dokumen; menilai kecukupan dan keberkesanan mekanisme pematuhan serta tadbir urus dalaman FAM; serta menentukan sama ada tindakan tatatertib tambahan perlu dikenakan terhadap pegawai-pegawai FAM.

“Sebagai fokus awal, siasatan tersebut mesti meneliti peranan Setiausaha Agung FAM dan dua ejen berlesen FIFA yang dinamakan dalam prosiding ini: Encik Nicolás Puppo dan Encik Frederico Moraes. Penglibatan mereka menimbulkan keraguan serius yang wajar disiasat secara menyeluruh.

“Selari dengan itu, Jawatankuasa turut mengarahkan Sekretariat untuk memulakan satu siasatan berasingan berhubung penggunaan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan yang dirujuk dalam prosiding ini.

“Siasatan ini hendaklah menentukan keadaan yang membolehkan beberapa Pemain terlibat serta sama ada hukuman tambahan perlu dikenakan,” kata FIFA.

Sebelum ini, FAM mengesahkan badan induk itu memohon alasan bertulis penuh berhubung keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang mengekalkan hukuman ke atas tujuh pemain negara.

Susulan keputusan berkenaan, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) kepada FIFA sementara tujuh pemain iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazwbal dan Hector Hevel dikenakan denda CHF2,000 (lebih kurang RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top