syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon, Beto Kusyairy tidak menafikan lebih ramai peminat filem kini menonton di platform ‘Over-the-top’ (OTT) berbanding ke pawagam.
Ia berikutan lebih banyak reaksi diterima selepas filem lakonannya, Gayong ditayangkan di Netflix berbanding ketika ia ditayangkan di pawagam.
“Kalau hendak bercakap mengenai perbandingan antara tayangan wayang dengan platform OTT, saya sebenarnya tidak boleh cakap apa kerana ia sudah menjadi budaya sekarang. Hampir semua orang menonton di tapak tangan masing-masing.
“Namun dari sudut pembikinan filem, keadaan ini membuatkan kami terasa kurang puas. Kami mengeluarkan modal yang besar, menghasilkan sebuah karya untuk ditayangkan di layar lebar, termasuk kualiti bunyinya yang direka khas untuk pengalaman pawagam.
“Jadi kenapa harus menontonnya di tapak tangan, sedangkan ia dibikin untuk kepuasan visual dan audio di layar lebar?,” katanya kepada Harian Metro.
Bagaimanapun, Beto juga memahami situasi yang berlaku memandangkan banyak kos yang perlu dikeluarkan penonton sekiranya mereka ingin keluar menonton di pawagam berbanding di OTT.
“Tetapi saya faham juga daripada sudut masa penonton. Sekarang terdapat lambakan filem tempatan yang ditayangkan dalam jarak masa yang tidak begitu jauh antara satu sama lain, ditambah pula dengan harga tiket yang mahal.
“Saya ambil peduli hal itu juga. Saya tidak boleh menyalahkan penonton sepenuhnya.
“Kerana kalau dikira, kalau keluar menonton, tiket wayang pun, jika digabungkan dengan kos parkir, makanan dan minuman boleh mencecah RM100. Jadi perkara itu memang memberi kesan,” katanya.
Gayong arahan Faisal Ishak menjadi bualan selepas ditayangkan di Netflix berbanding hanya mencatat kutipan lebih RM4 juta ketika ditayangkan di pawagam pada Mei lalu.
Terbaharu, Beto kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri Good Boys Go To Heaven arahan pengarah Ariff Zulkarnain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




