Peluang cerah acara berpasukan akhiri kemarau 34 tahun

Peluang cerah acara berpasukan akhiri kemarau 34 tahun

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad sepak takraw negara dilihat mempunyai peluang tinggi untuk meraih emas dalam acara berpasukan di Sukan Sea Thailand yang akan bermula bulan hadapan, sekali gus mengakhiri kemarau 34 tahun tanpa kemenangan dalam acara itu.

Bekas pemain kebangsaan, Mohammad Farid Hamdan berkata, prestasi pasukan ketika ini dilihat cukup baik, malah jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun mempunyai pilihan yang lebih banyak untuk menyusun strategi agar mampu menewaskan Thailand.

Katanya, untuk acara regu, Malaysia dilihat tidak berdepan masalah besar kerana mempunyai regu yang cukup kuat apabila dua kali bertemu di final Piala Dunia (2024) dan Piala Asia 2025, skuad bimbingan Ahmad Jais itu berjaya mengalahkan Thailand 2-0.

“Pada saya, regu pertama memang sudah ada dan kekuatannya dengan Thailand sebenarnya seimbang, 50-50. Siapa yang dapat momentum, peluang untuk menang (emas) tinggi. Maksudnya, kita ada kekuatan, Thailand pun ada perkara yang sama.

“Cuma, sebelum ini kelebihan Thailand ialah mereka mempunyai regu kedua dan ketiga yang sangat kuat dan memang dahsyat, sebab ketiga-tiga regu mereka konsisten dan seimbang. Kita pula lebih kuat pada regu pertama dan kedua, tetapi regu ketiga kita agak goyang.

“Namun sekarang, kita pun sudah ada pilihan. Kalau ikutkan, kita sudah ada pemain seperti tekong, Haziq (Hairul Nizam) dan kalau dia dipadankan dengan cara yang betul, kita boleh menang 2-0.

“Tapi itu bergantung pada keadaan semasa atau hari kejohanan. Kalau mereka (Thailand) buat lebih sedikit kesilapan, peluang kita cerah,” katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, beliau juga melihat prestasi pemain semakin meningkat ekoran beberapa kejohanan kompetitif yang diadakan di dalam negara dan itu membantu mereka beraksi dengan lebih baik hasil persaingan semakin meningkat daripada pasukan yang bertanding.

“Betul, Kalau kita tengok liga yang ada di Malaysia sekarang, memang banyak peningkatan. Malah, sistem mata yang baharu (15 mata, satu servis) memberi peluang kepada kita, sama rata dengan pasukan lain sebab satu kesilapan terus memberi mata kepada pihak lawan. Jadi semuanya sangat bergantung pada ketepatan dan konsistensi.

“Tapi memang peluang itu ada. Saya nampak dengan jelas bahawa pasukan kita menunjukkan peningkatan yang sangat ketara dan optimis mampu menang pingat emas,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menang ke atas Thailand dalam acara berpasukan adalah di Sukan Sea Manila pada 1991.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top