Insiden kepala air: Telefon bimbit mangsa dikesan berada antara Puchong, Shah Alam

Insiden kepala air: Telefon bimbit mangsa dikesan berada antara Puchong, Shah Alam

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Telefon bimbit milik lelaki dikhuatiri lemas dipercayai dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Jambatan Saloma dikesan pada kedudukan antara kawasan Puchong atau Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, setakat ini telefon bimbit mangsa masih berfungsi.

“Telefon terbabit masih ada deringan namun kadang-kadang ‘on-off’ dan mengikut daripada kedudukannya kita dapat jangkakan ia (telefon) mungkin berada di sekitar kawasan Puchong ataupun Shah Alam.

“Telefon bimbit itu diletak dalam beg, mungkin beg tu hanyut bersama dengan telefon dan mungkin bukan bersama dengan mangsa,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata, hari ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sehingga 20 kilometer dengan empat pasukan di sepanjang Sungai Klang hingga ke Plaza Tol Lebuh Raya Shah Alam (KESAS).

“Bagaimanapun sehingga petang ini masih tidak berhasil menemui apa-apa petunjuk keadaan mangsa.

“Jadi operasi SAR akan diteruskan sehingga jam 6.30 petang ini dan disambung semula jam 8 pagi esok,” katanya.

Katanya, pihaknya sudah menggunakan semua elemen menggunakan bot, kayak dan dron sehingga ke kawasan perangkap sampah di Puchong namun tidak berhasil.

“Kereta pacuan empat roda Mitsubishi Pajero juga masih belum ditemui di mana paras air juga masih tinggi dalam dua meter dan belum dalam keadaan normal.

“Esok kita akan akan tambah kekuatan dengan menggunakan penyelam dan bantuan dari semua agensi termasuk menggunakan anjing pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rahmat Kamarulzaman berkata, keadaan paras air memberi sedikit tentangan kepada penyelam tetapi diharapkan esok air kembali kepada paras normal.

“Kita turut kawasan hotspot dan laluan keluar masuk air bagi mencari mangsa namun masih belum ada petunjuk,” katanya.

Berita berkaitan:

Polis sahkan mangsa kepala air Sungai Klang lelaki tempatan 34 tahun

‘Abang pandai berenang, tapi arus deras mungkin bataskan dirinya’

Cuaca tidak menentu sukar proses SAR lelaki dihanyut kepala air

Lelaki hanyut di Pintasan Saloma belum ditemukan, SAR disambung pagi iniLelaki hanyut di Pintasan Saloma belum ditemukan, SAR disambung pagi ini

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top