Pelakon dan penyanyi, Diana Danielle berkongsi pandangan peribadi mengenai perubahan diri yang dianggap tiada tarikh luput.
Menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, Diana atau nama lengkapnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, berkata, sepanjang perjalanan hidupnya, satu perkara penting yang dipelajari adalah tiada istilah terlambat untuk memperbaiki diri walau pada usia atau fasa apa sekalipun.
“Satu benda saya belajar sepanjang hidup saya, takkan pernah terlambat at any point of our life kalau kita nak perbaiki diri,” katanya.
Menurut Diana, ramai yang sering merasakan peluang sudah terlepas atau usia semakin meningkat sehingga perubahan dianggap mustahil.
Namun baginya, selagi perubahan itu membawa kebaikan, ia tetap berbaloi untuk dicuba.
“Kadang-kadang orang akan cakap ‘dah terlambat, benda dah jadi, usia dah lanjut, peluang dah terlepas’. Apa sekalipun, kalau benda tu satu perubahan positif, tak kisah apa pun, tak akan pernah terlambat,” katanya.
Jelasnya lagi, perubahan tidak semestinya sesuatu yang besar, tetapi memerlukan keberanian kerana keberanian itulah yang menentukan sama ada seseorang mampu melangkah ke hadapan atau tidak.
“Perbaiki hubungan, perbaiki keadaan, perbaiki diri, atau apa sahaja tak pernah terlambat. Kadang kala hanya memerlukan keberanian sahaja,” ujarnya.
Namun, Diana mengingatkan melakukan terlalu banyak perubahan dalam satu masa mungkin membebankan kerana perubahan memerlukan proses menggantikan tabiat lama dan membina rutin baharu.
“Perubahan itu perlukan pertukaran habit, atau sisi lama itu kena buang. Ambil masa untuk faham kehidupan baharu atau rutin baharu untuk kita dapat duduk di situ selamanya,” akhirnya lagi.
@diana.danielle Sekian ketiber-tiberan
Perkongsiannya itu menerima respons positif netizen yang rata-rata bersetuju dengan pandangannya serta menganggap pesanan tersebut memberi inspirasi untuk terus memperbaiki diri ke arah kebaikan.




