Pengetua nafi halang ibu Zara Qairina buat laporan polis

Pengetua nafi halang ibu Zara Qairina buat laporan polis

suzalina@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Shaharoom Hashim, menafikan meminta ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir supaya tidak membuat laporan polis susulan insiden arwah ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah itu pada awal pagi 16 Julai lalu.

Pada prosiding di Mahkamah Khas Koroner di Papar, Sabah, hari ini, Shaharoom yang juga saksi ke-47 inkues kes kematian Zara Qairina, menafikan ada membelai tangan ibu arwah dan berkata kepadanya: ‘Tak payahlah buat laporan, ketua warden dah buat laporan polis’, sekitar jam 10.17 pagi 16 Julai lalu.

Menceritakan semula keterangan saksi itu, pasukan guaman mewakili ibu arwah yang diketuai Shahlan Jufri, dalam satu kenyataan berkata saksi memberitahu mahkamah bahawa beliau bertemu wanita terbabit di hospital pada hari berkenaan.

“Menurut saksi, pada hari itu, beliau cuma berjumpa ibu Zara di hospital dan ibu Zara ada bertanya kepada saksi mengenai cadangan orang terdekat sama ada beliau patut buat laporan polis.

” Saksi berkata beliau cuma memberitahu ibu Zara: ‘Pihak sekolah sudah buat laporan polis’,” menurut kenyataan ringkasan harian prosiding inkues itu.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Julai lalu.

Siasatan dalaman

Saksi juga memberitahu mahkamah bahawa pada pagi 16 Julai lalu, pihak sekolah melakukan siasatan dalaman mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) 137 sedia ada, yang dikendalikan oleh Unit Disiplin bersama Unit Bimbingan Kaunseling dan warden asrama.

“Saksi berkata mereka memanggil semua pelajar puteri (perempuan) dan bertanya secara lisan apa yang berlaku pada 15 Julai lalu.

“Saksi berkata beliau tidak tahu atau pasti sama ada siasatan dalaman itu ada menggunakan SOP jelas yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Siasatan dalaman berkenaan adalah lebih untuk mengetahui apa yang berlaku pada malam itu saja. Saksi berkata beliau tidak mengetahui secara terperinci laporan siasatan dalaman itu kerana laporan berkenaan bawah kawalan Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid), Cikgu Asni Marjan.

“Saksi berkata beliau tidak mengetahui keputusan siasatan dalaman berkenaan kerana sibuk dengan tugas pentadbiran sekolah, di samping memfokus laporan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta penyelarasan program lain seperti trauma, kepada pelajar dan guru lain,” menurut kenyataan itu lagi.

Tiada aduan

Pada prosiding itu, saksi turut memaklumkan bahawa Zara Qairina tidak pernah membuat aduan kepada pihak sekolah mengenai sebarang masalah peribadi atau konflik dengan individu lain.

Selain itu, saksi juga baru mengetahui perihal pintu almari Zara Qairina rosak, setelah mendapat laporan daripada Ketua Warden selepas hari kejadian.

Saksi turut memberitahu mahkamah bahawa ibu bapa Zara Qairina tidak pernah menghubungi atau berjumpa dengannya untuk membangkitkan sebarang masalah berkaitan arwah, manakala mereka pula tidak pernah dipanggil ke sekolah bagi apa-apa isu.

Selain itu, saksi menyatakan sepanjang memegang jawatan Pengetua di sekolah itu, beliau sendiri tidak pernah menerima aduan mengenai isu buli atau masalah disiplin berkaitan pelajar.

“Menurut saksi, secara peribadi beliau cuma tahu mengenai budaya bersikap kasar dan kata-kata maki dalam kalangan pelajar sekolah selepas hari kejadian membabitkan Zara itu.

“Saksi berkata beliau tidak tahu mengenai peraturan khas yang ditetapkan dalam bilik dorm Zara oleh pelajar senior Ketua Dorm Zara. Beliau berkata sebarang peraturan terbabit perlu disemak dan diluluskan oleh Ketua Warden.

“Saksi juga berkata beliau tidak tahu mengenai kewujudan kumpulan pelajar ‘Circle Nineteen’ sepanjang tempoh beliau bertugas di sekolah itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Aktiviti intervensi

Saksi berkata, beliau mengadakan Mesyuarat Asrama Bilangan 3 pada 24 Julai lalu untuk membincangkan aktiviti intervensi dilakukan pihak sekolah selepas kes Zara Qairina itu.

Menurut saksi, pihak sekolah melakukan intervensi bagi memastikan pelajar lebih berdisiplin dan mengikut rutin harian asrama, malah beliau mengambil peranan proaktif mengingatkan pelajar agar mengutamakan akademik serta mementingkan penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi untuk mengelak insiden seperti kes Zara Qairina daripada berlaku lagi.

“Saksi menyatakan kejadian malam itu tidak akan berlaku sekiranya pelajar menghayati prinsip-prinsip daripada Hadis 40 Imam Nawawi khususnya, serta mematuhi larangan pihak sekolah supaya pelajar senior tidak memanggil junior untuk menyelesaikan sesuatu masalah,” menurut kenyataan itu.

Saksi memberitahu mahkamah bahawa beliau juga ingin mengetahui apa yang berlaku dalam kes Zara Qairina, malah berharap inkues itu dapat membantu mendapatkan kebenaran sebenar untuk arwah.

Selain Shahlan, pasukan guaman mewakili ibu Zara Qairina turut dibarisi Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser, dan Elhanan James.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top