Bila nyawa pelajar jadi taruhan `bas sekolah haram'

Bila nyawa pelajar jadi taruhan `bas sekolah haram'

am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Guna kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) persendirian yang diubah suai menjadi `bas sekolah haram’.

Itu antara kegiatan popular segelintir individu di daerah Kuala Pilah yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menawarkan khidmat mengambil pelajar sekolah.

Malah ada antara mereka yang ditahan JPJ memberi alasan hanya membawa anak jiran dan anak saudara dengan mengenakan yuran yang lebih rendah berbanding pengusaha bas sekolah yang sah.

Lelaki berusia 30-an yang membawa enam kanak-kanak menggunakan Perodua Alza ditahan dan pemeriksaan lanjut mendapati, cukai kenderaan dipandu lelaki itu juga sudah tamat tempoh.

Dakwanya, dia baru setahun menyediakan perkhidmatan itu dengan mengenakan tambang RM100 sebulan bagi setiap pelajar yang juga anak jirannya.

Ketika disoal siasat, dia mengaku beroperasi pada waktu siang bagi menambah pendapatan sebagai pengawal keselamatan.

Dalam masa sama, sebuah kereta dipandu seorang wanita turut ditahan dalam operasi berkenaan selepas didapati membawa empat kanak-kanak berusia 10 hingga 16 tahun.

Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, alasan menumpangkan anak jiran sering digunakan oleh pemandu `kenderaan sekolah haram’ apabila ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Mereka pada mulanya mungkin tidak berniat menjadikannya sebagai satu perniagaan, tapi berubah apabila melihat adanya permintaan.

“Kebiasaannya mereka ini akan mengenakan tambang yang lebih rendah berbanding pengusaha berlesen,” katanya.

Tambahnya, pelbagai risiko mungkin dihadapi jika kenderaan ini terbabit dalam kemalangan ketika membawa pelajar.

“Ini kerana katanya, penumpang tidak dilindungi insurans dan ia adalah sangat berisiko. Risiko lain adalah dari segi keselamatan kerana kenderaan ini mungkin tidak diselenggara secara berkala dan pemandu yang tidak terlatih untuk mengendalikan atau pengurusan penumpang berikutan tidak mempunyai lesen vokasional (PSV) bagi tujuan membawa penumpang.

“Setiap orang yang ingin menjalankan perkhidmatan membawa murid atau pelajar sekolah perlu menggunakan bas sekolah yang mempunyai lesen atau permit yang dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 25 kenderaan diambil tindakan dalam operasi khas van haram dilaksanakan dengan sebuah kenderaan dilucut hak.

Tambahnya, sebanyak 55 kesalahan direkodkan dengan kesalahan paling tinggi membabitkan salah guna lesen kenderaan motor (28 kes) diikuti lesen kenderaan tamat tempoh (11 kes) dan tiada insurans (9 kes).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top