Johannesburg: Rakyat Gaza mendakwa mereka membayar AS$2,000 (kira-kira RM9,400) bagi setiap tempat duduk untuk membawa keluarga mereka berlepas ke Afrika Selatan melalui perjalanan yang diatur oleh sebuah kumpulan.
Perjalanan itu disusun oleh kumpulan yang menawarkan jalan keluar dari wilayah yang musnah itu dengan tindakan itu disifatkan oleh Afrika Selatan pada Isnin lalu sebagai sebahagian usaha untuk menyingkirkan rakyat Palestin dari tanah air mereka.
Dua penduduk Gaza yang ditemu bual oleh Reuters berkata, mereka adalah antara 130 warga Palestin yang diberi kemasukan oleh Afrika Selatan yang mana mereka menaiki bas dari Gaza dan diterbangkan keluar dari lapangan terbang Israel, minggu lalu, sebelum tiba di Johannesburg pada Khamis selepas singgah di Nairobi.
Menteri Luar Afrika Selatan, Ronald Lamola yang kerajaannya menyokong aspirasi negara Palestin dan menuduh Israel melakukan genosid dalam perang Gaza pada Isnin berkata, pihak berkuasa menyiasat keadaan mencurigakan ketibaan pesawat berkenaan.
“Ia kelihatan seperti mewakili agenda yang lebih luas untuk mengeluarkan rakyat Palestin dari Palestin,” katanya dalam satu taklimat media.
Israel menolak tuduhan genosid di Gaza sebagai bermotifkan politik dan menegaskan kempen tenteranya menyasarkan Hamas, bukan penduduk awam Gaza.
Lamola menambah bahawa maklumat awal menunjukkan kumpulan itu tidak mempunyai kelulusan dan permit yang diperlukan dan perkara itu kini disiasat.
Pada Mei, Reuters melaporkan bahawa Israel melonggarkan sekatan terhadap rakyat Palestin yang meninggalkan Gaza dan kira-kira 1,000 daripada mereka dibawa keluar dari enklaf itu untuk menaiki penerbangan ke Eropah dan tempat lain.
Laporan pada masa itu menyebut, pemergian ini memerlukan permohonan kepada Israel oleh kerajaan asing.
Dua rakyat Palestin itu berkata, mereka melihat iklan dalam talian yang disiarkan oleh sebuah organisasi bernama Al-Majd Europe yang menawarkan peluang untuk meninggalkan Gaza dan memohon kira-kira enam bulan lalu dengan tawaran itu hanya dibuka kepada keluarga dan memerlukan pemohon memiliki pasport.
Ramzi Abu Youssef, 42, yang menghidap kanser limfoma memaklumkan terpaksa berlepas bagi mendapatkan rawatan dan mencari kehidupan yang lebih baik untuk keluarganya.
Abu Youssef berlepas bersama isteri dan tiga anaknya selepas dua anak perempuannya terbunuh dalam serangan Israel pada Jun 2024. Rumahnya di kem Nuseirat juga musnah.
Seorang lagi rakyat Palestin yang berlepas memaklumkan mereka terpaksa meninggalkan Gaza selepas melalui pengeboman berbulan-bulan dan terpaksa berindah rumah di Deir al-Balah beberapa kali.
Rakyat Palestin itu tiba di Johannesburg dengan penerbangan Global Airways yang disewa khas dari Kenya.
Abu Youssef memaklumkan kumpulan itu menerima visa 90 hari dan kosnya ditampung oleh anggota komuniti Islam di Johannesburg, sementara yang lain tinggal di asrama, manakala 23 orang dalam penerbangan itu berlepas ke destinasi lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




