Kunak: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Anil Sandhu menafikan dakwaan bahawa beliau menggunakan gelaran “Dato” secara palsu serta memiliki kelulusan akademik yang tidak sah.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu itu menegaskan bahawa semua gelaran dan kelayakan yang dimilikinya adalah sah, diperakui serta mempunyai rekod rasmi.
Beliau berkata, tuduhan itu adalah tidak benar dan dibuat dengan niat jahat untuk merosakkan nama baik serta reputasinya sebagai calon BN bagi kawasan Kunak.
“Naratif fitnah seperti ini sengaja dikitar semula setiap kali menjelang pemilihan atau pilihan raya, sama seperti tuduhan tidak berasas yang pernah dilemparkan terhadap saya pada tahun 2018.
“Saya melihat penyebaran tuduhan dan dakwaan itu sebagai tindakan terdesak pihak tertentu yang sekali lagi memilih fitnah sebagai senjata politik, menggambarkan betapa kotornya pendirian serta ketandusan idea mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anil berkata sebelum beliau diangkat sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri ke-17 Sabah (PRN17), proses tapisan telah dilakukan dengan ketat dan beliau yakin fitnah yang dimainkan itu tidak akan menjejaskan fokusnya dalam menjalankan tugas di kawasan DUN Kunak.
Katanya, masyarakat Kunak semakin matang dan menilai calon berdasarkan kerja serta kemampuan.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan pihak yang terus mengitar isu berkenaan supaya menghentikan perbuatan itu dan mengingatkan bahawa setiap tuduhan tanpa asas membawa tanggungjawab undang-undang serta dosa.
“Politik mesti dijadikan wadah membina dan memajukan masyarakat dan bukan medan menjatuhkan sesama sendiri melalui pembohongan.
“Ramai telah menjadi mangsa fitnah politik namun kebenaran pasti muncul. Justeru, janganlah kita biarkan pihak yang gemar memutar belit fakta menipu masyarakat,” tegasnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




