am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: “Tidak ubah seperti gempa bumi itu, ia berlaku sejak seminggu lalu apabila ombak yang menghempas benteng batu menyebabkan rumah saya bergegar,” kata Mohd Yazit Idris, 66, dari Kampung Tanjung, Batu Rakit, dekat sini.
‘Banglo biru’ milik Mohd Yazit bernilai RM600,000 yang dibina sebagai tanda kasih pada isterinya pernah tular berikutan hampir ‘ditelan’ laut dalam kejadian hakisan pantai yang berlaku akhir tahun lalu.
Menurutnya, walaupun bahagian struktur belakang rumahnya yang sebelum ini hampir roboh sudah ditambak menggunakan bongkah batu namun fenomena ombak besar serta air laut yang semakin mengganas menggusarkannya.
Katanya, sejak seminggu lalu ombak menghempas benteng batu hingga menggegarkan rumahnya dan dia akan bangun dari tidur kira-kira jam 2 pagi setiap hari bagi meninjau keadaan sekeliling rumahnya.
“Tahun lalu, banglo ini ibarat ‘telur di hujung tanduk’ berikutan struktur tiang di bahagian dapur sudah terdedah berikutan berlakunya hakisan pantai yang teruk.
“Alhamdulillah, pihak berkaitan sudah menambak bahagian yang terhakis namun saya masih gusar kerana terdapat kesan baharu berlaku hakisan pada struktur benteng yang dibina,” katanya.
Menurutnya, dia bimbang kesan baru itu akan merebak kerana sekarang sudah memasuki musim Monsun Timur Laut (MTL) yang membawa kepada berlakunya fenomena ombak besar.
Katanya, tiga hari lalu ombak meluncur setinggi lebih tiga meter melepasi benteng hingga ke bahagian rumahnya dan situasi itu amat mendebarkan kerana ia berlaku pada waktu awal pagi.
Mohd Yazit berkata, ombak yang menghempas benteng akan menggegarkan rumahnya dan akibat kejadian itu dia tidak lena tidur kerana bimbang keselamatan.
“Saya akan bangun dan akan meninjau di sekeliling rumah, rutin itu dilakukan sejak seminggu lalu dan ia akan berlarutan hingga tamatnya MTL.
“Sejak MTL tahun lalu rumah ini berdepan beberapa siri kejadian yang menakutkan kerana terdedah dengan hakisan hingga mengakibatkan kedudukan rumah hanya satu meter dari laut ketika itu.
“Namun, rumah ini saja yang saya ada untuk berteduh dan saya akan terus menghuni rumah ini selagi ia masih mampu bertahan,” katanya.
Menurutnya, dia tetap berhati-hati kerana keadaan ombak pada musim MTL agak berbeza daripada hari-hari biasa.
Katanya, dia amat berterima kasih kepada kerajaan yang menyegerakan projek di sekitar Kampung Tanjung terutama jalan utama yang mengalami kerosakan akibat hakisan.
Pada waktu sama, Mohd Yazit berkata, dia berharap kerajaan dapat membaiki kesan hakisan baharu yang berlaku.
“Saya bimbang sekiranya kerosakan benteng semakin teruk akan memerlukan kos baik pulih yang tinggi dan ada baiknya ia ditangani pada peringkat awal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




