5 kes penyeludupan sempadan Malaysia-Indonesia lebih RM500,000 direkodkan

5 kes penyeludupan sempadan Malaysia-Indonesia lebih RM500,000 direkodkan

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak lima kes dengan rampasan bernilai RM558,344 direkodkan menerusi operasi Patkor Kastima yang dilaksanakan dengan kerjasama Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) Indonesia.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, operasi yang dilaksanakan menerusi kerjasama dua negara di bawah kerjasama Tim Perancang Operasi Maritim (TPOM) Malaysia–Indonesia turut membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan perairan.

“Operasi ini dilaksanakan setiap tahun bagi membanteras penyeludupan di kawasan sempadan laut dan darat.

“Sebanyak lima kes dengan nilai keseluruhan RM558,344 direkodkan tahun ini membabitkan barangan seperti rokok putih dan ganja.

“Ia menunjukkan perubahan pola rampasan berbanding tahun 2024 yang lebih tertumpu kepada minyak diesel, benih sawit dan rokok putih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi ini sudah wujud sejak 1970-an sebelum diformalkan pada awal 1990-an.

Anis Rizana berkata, beliau berharap kerjasama strategik ini terus diperkukuh bagi memastikan aktiviti menyalahi undang-undang di perairan negara dapat dibanteras secara menyeluruh dan berkesan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top