Petaling Jaya: Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, isu Palestin kembali memecahkan permukaan wacana dunia. Namun, yang lebih menarik ialah bagaimana suara anak muda kini menjadi antara pemangkin utama perubahan naratif global. Nama Greta Thunberg yang selama ini dikaitkan dengan krisis iklim, kini muncul sebagai figura yang berani memperluaskan medan perjuangannya kepada isu kemanusiaan, terutamanya Palestin. Penglibatannya dalam Global Sumud Flotilla (GSF) menjadikan misi itu bukan sahaja sebuah operasi kemanusiaan, tetapi simbol solidariti rentas sempadan yang menggabungkan keberanian moral, tekanan politik dan advokasi strategik. Bagi mahasiswa, tindakan Greta mengundang persoalan besar: apakah sebenarnya peranan golongan intelektual muda dalam memecah kesenyapan global terhadap penindasan?
Greta bukan sekadar ikon remaja yang muncul di pentas dunia kerana aktivisme iklim. Evolusi perjuangannya memperlihatkan kefahaman mendalam bahawa keadilan iklim, hak asasi manusia dan penindasan politik saling berkait. Dalam konteks GSF, Greta mengambil peranan yang lebih besar apabila menyertai Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee), bukan sekadar sebagai peserta, tetapi sebagai individu yang terlibat dalam proses membuat keputusan, menentukan misi dan merangka strategi komunikasi global.
Pengalaman Greta dalam misi flotilla bukanlah perkara baharu. Dalam misi terdahulu, beliau menaiki kapal Medleen sebelum ditahan tentera Israel ketika menghampiri perairan Gaza. Penyertaan semula Greta dalam misi GSF terbaru menunjukkan bahawa tindakan yang bermakna tidak lahir daripada simbolisme semata-mata, tetapi melalui komitmen berulang yang konsisten terhadap nilai moral kemanusiaan.
Seperti yang dijangka, flotilla antarabangsa itu sekali lagi berdepan tindakan keras apabila cuba menghampiri Gaza. Laporan pelbagai media menjelaskan bahawa kapal-kapal flotilla dipintas, penumpang ditahan dan kemudiannya dibawa ke Pelabuhan Ashdod sebelum diusir ke Greece. Ada aktivis yang mendakwa layanan kasar, kekurangan akses kepada air bersih dan tekanan fizikal semasa ditahan. Walaupun menghadapi risiko sedemikian, misi GSF diteruskan atas nama sumud — konsep keteguhan rakyat Palestin yang menjadi nadi solidariti global sejak bertahun-tahun.
Perjuangan Greta memperlihatkan bahawa solidariti bukan sekadar tindakan spontan; ia adalah usaha sistematik untuk mencabar naratif geopolitik yang sering menguntungkan aktor berkuasa. Kritikan Greta terhadap tindakan Israel, termasuk gangguan komunikasi, intimidasi, dan pelaksanaan kuasa ketenteraan terhadap kapal kemanusiaan yang membawa suara moral yang jarang dilontarkan dengan tegas oleh pemimpin dunia. Apabila seorang aktivis muda mampu memaksa media antarabangsa mengalihkan lensa kepada isu sekatan Gaza, ia membuktikan bahawa advokasi moral masih berupaya menembusi tembok politik global.
Tiga Segi Analisis: Mahasiswa, Greta dan Flotilla
Penglibatan Greta membuka ruang pembacaan kritis terhadap hubungan antara aktivisme mahasiswa, tokoh global, dan gerakan kemanusiaan antarabangsa. Triangulasi ini menarik kerana ia menunjukkan bagaimana kuasa moral individu dan gerakan kolektif boleh mencabar dominasi wacana yang selama ini dibentuk oleh negara dan institusi antarabangsa.
Mahasiswa selama ini dilihat sebagai kelompok moral compass masyarakat. Namun, dalam banyak keadaan, mereka terperangkap antara idealisme dan kekangan struktural seperti birokrasi kampus, ancaman tindakan disiplin atau budaya takut terhadap isu geopolitik yang dianggap “sensitif”. Dalam hal ini, Greta membawa suatu teladan bahawa keberanian moral tidak terhenti pada kenyataan media atau protes simbolik. Ia perlu diterjemahkan kepada tindakan yang mempunyai risiko, strategi dan disiplin intelektual.
GSF pula berfungsi sebagai bukti bahawa aktivisme moden kini bergerak ke arah model baharu yang lebih kompleks yang menggabungkan diplomasi kemanusiaan, logistik antarabangsa, strategi komunikasi digital dan jaringan NGO pelbagai negara. Inilah ruang pembelajaran penting bagi mahasiswa: keberkesanan solidariti bukan diukur daripada seberapa lantang slogan dilaungkan, tetapi bagaimana gerakan disusun secara profesional dan berinformasi.
Aktivisme Baharu
Salah satu cabaran terbesar aktivisme mahasiswa hari ini ialah kecenderungan kepada romantisisme perjuangan. Simbol-simbol seperti poster, perhimpunan, dan slogan mudah mencetuskan semangat, tetapi sering kali tidak diiringi pemahaman mendalam tentang undang-undang antarabangsa, diplomasi, atau struktur kuasa global.
Flotilla misalnya bukan sekadar konvoi bantuan; ia adalah tindakan direct action yang menguji had undang-undang maritim antarabangsa, mencabar naratif keselamatan Israel, dan membawa isu Gaza masuk ke medan diplomatik dunia. Greta memahami risiko ini, dan inilah bezanya antara aktivisme yang bergantung pada emosi dengan aktivisme yang berasaskan analisis.
Mahasiswa perlu melihat bahawa keberkesanan solidariti bermula daripada kejelasan moral, tetapi memerlukan strategi yang tersusun. Mereka perlu belajar mengurus naratif media sosial dengan beretika, memahami konteks geopolitik, membaca laporan diplomatik, dan membina jaringan dengan organisasi masyarakat sivil. Pendek kata: aktivisme tidak boleh lagi bersandar pada semangat semata-mata. Ia perlu berakarkan ilmu.
Solidariti Yang Berterusan, Bukan Bermusim
Selain konsistensi, solidariti juga menuntut pemahaman bahawa isu Palestin tidak berdiri dalam ruang kosong. Ia berkait rapat dengan dinamika geopolitik, dasar kuasa besar, peranan pertubuhan antarabangsa serta kepentingan ekonomi dan ketenteraan yang lebih luas. Justeru, mahasiswa perlu melatih diri membaca isu ini secara struktur, bukan sekadar emosi. Hanya dengan kefahaman mendalam tentang konteks inilah mereka dapat membina solidariti yang tidak mudah dipatahkan oleh propaganda atau manipulasi maklumat. Dalam hal ini, keupayaan Greta membaca hubungan antara perubahan iklim, ketidakstabilan politik dan penindasan manusia membuka contoh bahawa aktivisme moden tidak boleh terpisah daripada analisis global yang menyeluruh.
Di samping itu, mahasiswa perlu sedar bahawa solidariti berkesan bukan hanya melalui suara lantang, tetapi melalui keupayaan membina naratif saingan (counter-narrative) terhadap maklumat berat sebelah yang sering mendominasi media arus perdana. GSF, misalnya, berjaya memecahkan blokade maklumat dengan menunjukkan secara visual realiti sekatan laut Gaza merupakan sesuatu yang sukar dinafikan walaupun cuba disisihkan oleh media prostatus quo. Di sinilah mahasiswa boleh mengambil peranan penting melalui penulisan, dokumentasi, penyelidikan mikro (micro-research) dan penerbitan digital. Membangunkan naratif alternatif yang berfakta adalah bentuk solidariti yang mampu bertahan lebih lama berbanding kempen emosi jangka pendek.
Lebih kritikal lagi, solidariti yang berterusan menuntut pembinaan keupayaan dalaman dalam kalangan mahasiswa. Ini bermakna mereka perlu menguasai kemahiran advokasi, pengurusan acara, komunikasi strategik, literasi undang-undang dan hubungan antarabangsa. Tanpa kapasiti ini, gerakan solidariti kampus mudah terhenti apabila graduan meninggalkan universiti atau apabila semangat kempen merudum. Greta dan rangkaian GSF menunjukkan bahawa gerakan global hanya mampu bertahan apabila mempunyai struktur sokongan, kepimpinan yang boleh diganti, serta pengetahuan teknikal yang kukuh. Ini satu pelajaran penting bagi mahasiswa yang sering bergantung kepada spontaniti protes tetapi kurang menekankan pembangunan kapasiti jangka panjang.
Pada masa yang sama, mahasiswa perlu berhati-hati daripada menjadikan solidariti sebagai retorik simbolik yang hanya bertujuan menunjukkan keprihatinan tanpa membawa perubahan nyata. Solidariti bukan sekadar mengibarkan bendera, memuat naik poster atau menzahirkan emosi dan ia memerlukan tindakan substantif. Antara tindakan yang lebih signifikan termasuk mengadakan tekanan institusi melalui resolusi kampus, kajian akademik yang mengkritik dasar tidak berperikemanusiaan, latihan kesedaran kepada masyarakat dan kolaborasi dengan organisasi yang benar-benar bekerja di lapangan. Apabila tindakan ini dilakukan secara berterusan, barulah solidariti mahasiswa menjadi relevan kepada perubahan sosial sebenar.
Akhir sekali, konsistensi solidariti juga membina satu bentuk ketahanan moral (moral resilience) dalam kalangan mahasiswa. Dalam dunia yang dipenuhi maklumat bercelaru dan normalisasi kekerasan, keteguhan untuk terus berpihak kepada nilai kemanusiaan adalah cabaran tersendiri. Greta menunjukkan bahawa keteguhan moral tidak datang daripada keberanian sesaat, tetapi daripada kesanggupan untuk berdepan kecaman, fitnah dan tekanan politik tanpa berundur. Mahasiswa perlu melihat nilai ini sebagai tonggak penting dalam perjalanan aktivisme mereka. Hanya mereka yang memiliki ketahanan moral sedemikian mampu memastikan solidariti Palestin — dan apa-apa perjuangan kemanusiaan lain tidak tenggelam ditelan masa atau keletihan masyarakat global.
Kesimpulan
Greta Thunberg dan Global Sumud Flotilla menunjukkan kepada dunia bahawa keberanian moral masih memiliki kuasa untuk menggugat struktur kuasa global. Mereka memecahkan kesenyapan yang selama ini menyelubungi penderitaan rakyat Gaza, sekali gus mengingatkan bahawa solidariti bukan sekadar slogan, tetapi tindakan yang tersusun, berisiko dan berperancangan.
Bagi mahasiswa, misi ini membawa cabaran baharu: adakah kita sekadar ingin menjadi pengulas, atau bersedia menjadi penggerak? Dalam era yang menuntut kejelasan moral dan kecerdikan strategi, perjuangan tidak boleh lagi bergantung kepada emosionalisme semata-mata. Ia perlu dibina atas asas pengetahuan, analisis dan keberanian. Dunia sedang berubah dan mahasiswa perlu memilih sama ada mahu berada di pinggiran sejarah, atau menjadi sebahagian daripada gelombang solidariti global yang menuntut keadilan sejagat.
Penulis:
AKHMAL SHAUQI BIN MUHAMAD SALIHIN
Mahasiswa Tahun 3,
Jabatan Usuluddin dan Dakwah,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.



