nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Siapa sangka pasukan koir Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Dr Ismail 1 berjaya menempa beberapa kejayaan dalam pertandingan koir meskipun hanya ‘berusia setahun jagung’.
Guru penyelaras pasukan koir sekolah itu yang diberi nama Les Chanteurs, Adlia Syazanna Abas, 37, berkata, kumpulan koir itu ditubuhkan pada Januari 2023.
“Pada awal penubuhan pasukan koir sekolah ini, ia hanya terdiri daripada 20 murid membabitkan murid tahun 4 hingga 6 yang dipilih menerusi uji bakat.
“Kumpulan ini ditubuh kerana mahu menghantar pasukan bagi menyertai pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan iaitu Pertandingan Koir Jejak Juara Kuala Lumpur pada 2023.
“Dalam pertandingan itu, pasukan kami bergelar juara dan bertanding mewakili Wilayah Persekutuan dalam Festival Gala Kesenian Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023,” katanya.
Adlia berkata, pasukan koir itu berjaya meraih tempat keempat dalam pertandingan berkenaan yang diadakan pada 12 hingga 14 September 2023.
“Susulan kejayaan itu, kami menambah ahli dengan menjalankan uji bakat pada 2024 bagi murid tahun 1 hingga 3 untuk membangunkan bakat serta beri pendedahan lebih lama kepada kumpulan junior (tahap 1).
“Pada masa sama, pembentukan pasukan junior itu adalah untuk penyertaan pertandingan MCE (Malaysian Choral Eisteddfod) International Choir Festival pada 6 November 2024,” katanya.
Beliau yang juga guru muzik di sekolah berkenaan berkata, pasukan senior membabitkan murid Tahap 2 berjaya memenangi emas, manakala pasukan junior pula meraih perak dalam pertandingan itu.
“Sejujurnya, saya terkejut melihat kejayaan mereka kerana tidak menyangka meskipun ditubuhkan dalam masa yang singkat, kedua-dua pasukan dapat meraih kemenangan dalam pertandingan itu.
“Saya rasa kemenangan ini adalah berkat komitmen 100 peratus yang diberikan murid terbabit selain dorongan daripada ibu bapa masing-masing,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua pasukan itu dilatih jurulatih berpengalaman yang mengajar koir dalam kalangan murid.
“Kumpulan senior dilatih, Azahar Abdullah, 36, manakala kumpulan junior pula dilatih Rabi’atul Raba’ah Baharudin, 37.
“Setiap murid dalam kedua-dua pasukan ini mempunyai daya saing dan tahap keyakinan sangat tinggi yang dapat dilihat sewaktu mereka membuat persembahan,” katanya.
Katanya, pihak sekolah mempunyai perancangan bagi kedua-dua pasukan koir Les Chanteurs untuk terus menempa nama sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Perancangan kita seterusnya adalah untuk beri fokus kepada teknik setiap murid dalam kedua-dua pasukan ini dengan memberi lebih banyak pendedahan kepada mereka.
“Ini termasuk penyertaan mereka dalam pertandingan koir di peringkat antarabangsa di Bali, Indonesia iaitu Bali International Choir Festival 2026 pada Julai tahun depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




