Penyanyi tersohor, Shila Amzah tampil memperjelaskan situasi sebenar mengenai cara dia dan suaminya, Ubaidillah MZ, menjaga anaknya, Seth, yang merupakan kanak-kanak dalam spektrum autisme.
Menerusi platform Threads, Shila berkata, setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri dalam menguruskan anak autisme, apatah lagi jika melibatkan keperluan sensori dan emosi yang berbeza daripada kanak-kanak lain.
“Bukan semua ibu bapa tahu cara yang betul untuk menguruskan anak autisme. Kalau saya dan Ubai tak benarkan orang lain bawa Seth keluar, itu keputusan kami sebagai ibu bapa. Kami lebih mengenali anak kami,” katanya.
Menurutnya, Seth jarang mengalami episod tantrum, namun kejadian itu berlaku semula baru-baru ini. Dalam hal sebegitu, Ubai menjadi individu paling dipercayai untuk menangani situasi tersebut.
“Seth lama tak alami tantrum, cuma baru-baru ini saja berlaku semula. Walaupun Ubai bukan bapa kandungnya, Seth paling sayang dan hormat dia kerana dia mengambil tanggungjawab itu dengan penuh amanah,” katanya.
Shila berkata, peranan Ubai jauh lebih besar daripada apa yang disangka orang luar kerana suaminya itu sangat komited membantu membentuk tingkah laku dan perkembangan anaknya.
“Ubai yang banyak mendisiplinkan Seth, ajar dia tentang emosi dan empati, bimbing dia main bola malah dialah yang melatih Seth menggunakan tandas. Kami benar-benar curahkan seluruh jiwa raga untuk dia,” katanya.

Mengulas dakwaan segelintir pihak kononnya Seth hanya selesa bersama mereka berdua, Shila menjelaskan ia sama sekali tidak benar.
“Sebenarnya, bukan hanya kami berdua yang Seth selesa. Mak saya bawa dia ke mana-mana pun dia seronok saja. Dengan kawan-kawan saya dan kawan-kawan Ubai pun dia boleh ‘chill’ sendiri tanpa masalah,” katanya.
Katanya, hal itu berlaku kerana individu terdekat mereka benar-benar mengambil masa untuk memahami keperluan sensori Seth.
“Mereka kenal Seth luar dan dalam, tahu apa yang dia suka, pandai ambil hati dia dan faham apa yang boleh mencetuskan isu sensori.
“Saya memang ada beberapa orang dalam hidup kami yang boleh bawa Seth keluar untuk luangkan masa dengannya, dan setiap kali balik, dia pulang dalam keadaan gembira,” katanya.

Difahamkan, Shila meluahkan ciapannya itu secara umum selepas ada perkara yang berlaku kepada anaknya namun enggan didedahkan lebih lanjut.





