Amsterdam: Jurulatih veteran Dick Advocaat berkata, kejayaan Curacao ke Piala Dunia adalah ‘detik paling gila’ yang pernah beliau capai sepanjang kerjaya panjangnya.
Pulau Caribbean yang mempunyai sedikit lebih daripada 150,000 penduduk itu yang juga wilayah berautonomi di bawah Belanda, menjadi negara terkecil pernah layak ke Piala Dunia apabila mereka seri dengan Jamaica di Kingston pada, semalam.
Advocaat, 78 tahun, tidak berada di sana kerana beliau perlu pulang ke Belanda atas urusan keluarga.
Digelar “the Little General”, beliau pernah menjadi jurulatih kebangsaan bagi lapan negara berbeza dan membawa Belanda ke separuh akhir Kejohanan Eropah 2004 serta suku akhir Piala Dunia 1994.
Kini, beliau akan menjadi jurulatih tertua dalam sejarah pusingan akhir Piala Dunia.
“Selepas persembahan seperti itu, anda mungkin tergoda untuk mengatakan ini perkara paling indah pernah saya alami, tetapi itu seperti menafikan begitu banyak detik lain,” kata Advocaat kepada akhbar Algemeen Dagblad, hari ini dalam reaksi umum pertamanya terhadap kejayaan tersebut.
“Ia perkara paling gila pernah saya capai sebagai jurulatih. Ini sangat menakjubkan untuk pulau itu dan pemain yang datang dari jauh.”
Advocaat menonton perlawanan itu di televisyen dari rumahnya di The Hague .
“Saya benar-benar letih selepas perlawanan itu, jauh lebih letih daripada ketika saya berada di tepi padang. Anda boleh merancang segalanya dengan tepat, tetapi tenaga anda tetap habis. Ini perlawanan yang sangat penting,” katanya.
“Tengok Jamaica, Steve McClaren sudahpun meninggalkan jawatan jurulatih kebangsaan beberapa jam selepas keputusan seri itu. Mereka terkena palang dua kali dan tiang sekali dan kemudian ada penalti.”
Kisah dongeng Curacao hampir musnah pada minit keempat daripada lima minit masa tambahan apabila pemain gantian Jeremy Antonisse kelihatan menjatuhkan pemain Jamaica, Isaac Hayden, dan pengadil dari El Salvador, Ivan Barton, terus menunjuk ke arah titik penalti.
“Nasib baik VAR campur tangan. Memang itu gunanya, tetapi anda takkan tahu, kan?” kata Advocaat, merujuk kepada bantuan video.
Pengadil kemudian diminta oleh pegawai VAR untuk menyemak insiden itu di skrin kecil tepi padang dan tanpa ragu membatalkan keputusannya sendiri.
“Dalam situasi begitu pun anda masih boleh tewas. Sebab itu saya kata, dalam bola sepak semuanya terlalu rapat.”
Advocaat mengambil alih pasukan Curacao pada Januari tahun lalu dan menggalakkan ramai pemain Belanda berketurunan Antilles menyertai pasukan, menyebabkan semua pemain yang beraksi menentang Jamaica dilahirkan di Belanda.
“Kami pergi ke tempat paling pelik dalam pusingan kelayakan, kami bermain di padang yang paling teruk. Saya asyik berkata semuanya akan ditentukan pada perlawanan terakhir. Dan itulah yang berlaku. Tetapi akhirnya, kami sampai ke tempat yang diimpikan oleh pemain, Piala Dunia di Amerika,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




