am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Polis Pulau Pinang menahan seorang pengedar dadah bersama sejumlah barang larangan berkenaan dianggarkan bernilai RM234,900 dalam serbuan di dua lokasi di Seberang Jaya dan Batu Kawan, dekat sini malam kelmarin hingga petang semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail, berkata serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Seberang Perai Tengah.
Menurutnya, dalam serbuan itu polis menahan lelaki warga tempatan berusia 30 tahun dalam sebuah kenderaan di kawasan Seberang Jaya.
“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan dinaiki suspek menemui 18 peket plastik lutsinar setiap satu disyaki dadah jenis heroin seberat 6,205 gram(g) dan lima peket dadah jenis methamphetamine anggaran berat 1,414 g serta 97 keping aluminium foil yang berisi pil dipercayai eramin 5 sebanyak 1,470 biji dan satu peket plastik lutsinar setiap satu dipercayai dadah jenis ekstasi seberat 57g.
“Siasatan lanjut terhadap suspek membawa kepada serbuan susulan di sebuah kediaman di Batu Kawan yang dijadikan tempat penyimpanan dadah.
“Polis merampas 10 bungkusan plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 10,365g dan 20 peket plastik setiap satu berisi heroin yang dianggarkan seberat 8,969g ketika serbuan di kediaman terbabit dengan nilai rampasan sebanyak RM234,900,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket itu bergiat aktif sejak pertengahan tahun ini.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan kira-kira 60,000 orang atau 60,000 kali penggunaan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang dadah.
“Selain rampasan dadah, polis turut menyita sebuah motosikal dan rantai emas yang nilai kedua-duanya adalah RM15,900,” katanya.
Suspek yang mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah itu kini direman selama tujuh hari sehingga 25 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd




