rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kesukaran mendapat tempat dalam sektor pekerjaan tradisional membuatkan gadis ini memilih pekerjaan dalam sektor gig untuk menimba pengalaman sebelum mengejar peluang lebih besar.
Nur Izazi Mohd Isrook, 24, mengakui pekerjaan tradisional mempunyai jaminan kerja dan peluang kenaikan pangkat dalam syarikat.
Namun, bagi graduan muda yang baru melangkah masuk dalam dunia pekerjaan sepertinya, sektor gig mempunyai peluang yang luas dan pengalaman kerja yang lebih seimbang dengan kehidupan.
Nur Izazi yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Penyiaran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) kini bekerja sebagai penyampai siaran langsung atau lebih dikenali live host.
Menurutnya, dia memohon jawatan berkenaan kerana minat bercakap di hadapan kamera dan sudah hampir setahun bekerja dengan sebuah syarikat penyedia siaran langsung di ibu kota.
“Pada mulanya saya bekerja di bahagian operasi dan sering melihat orang kerja live host membuatkan saya rasa seronok. Tambah pula waktu kerja mereka fleksibel iaitu hanya buat beberapa jam siaran langsung.
“Selepas itu saya mohon kerja live host dan diterima bekerja dengan syarikat yang saya kerja sekarang ini. Saya bekerja empat hari seminggu dan perlu buat siaran langsung setiap dua jam atau lebih mengikut keperluan pelanggan.
“Gaji yang saya terima juga berpatutan selain diberi faedah lain termasuk caruman dan komisen bagi setiap jualan yang dibuat semasa siaran langsung,” katanya.
Bagaimanapun, anak keempat daripada lima beradik itu berkata, pekerjaan dilakukan juga ada cabaran antaranya perlu sentiasa tampil bersemangat dan konsisten untuk menarik penonton.
Selain itu, katanya, dia juga sentiasa mempersiapkan diri dengan pengetahuan mengenai sesuatu produk yang ingin dipromosikan sebelum memulakan siaran langsung bagi memastikan kelancaran.
Walaupun kadang-kadang penat terutama ketika musim kempen, tapi disebabkan minat dan seronok membuatkan dia terus bersemangat dan mahu menimba lebih banyak pengalaman dalam bidang berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




