JDT mudah ratah Melaka FC

JDT mudah ratah Melaka FC

rizar@mediaprima.com.my

Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim terus mencengkam kedudukan teratas liga selepas mudah meratah Melaka FC 7-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Pertembungan itu juga menyaksikan pengendali JDT, Xisco Munoz terpaksa melupakan khidmat ayam tambatannya, Arif Aiman Hanapi yang mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Harimau Malaya menentang Nepal dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 18 November lalu.

Malah khidmat pemain paling bernilai (MVP) itu kemungkinan tidak dapat diturunkan apabila Harimau Selatan akan bertandang ke Stadium Rectangular Melbourne untuk berdepan Melbourne City FC pada Selasa ini dalam saingan Liga Juara-Juara Elit (ACLE) selepas perlu berehat dalam tempoh yang lama akibat kecederaan paha.

Sebaik aksi bermula JDT jelas menguasai permainan dan memasuki minit keenam pada awalnya gol yang dijaringkan Jonathan Silva tidak disahkan selepas penjaga garisan Mohd Khairul Nizam Radzali mengangkat bendera apabila mendapati Afiq Fazail berada di kedudukan ofsaid.

Bagaimanapun, hasil semakan video bantuan pengadil (VAR) oleh pengadil, Nasiruddin Tamrin mengesahkan gol yang dijaringkan Silva dengan membatalkan ofsaif Afiq untuk meletak Harimau Selatan mendahului 1-0.

Tersentak dengan jaringan awal JDT itu, skuad kendalian K Devan tampak bermain secara kompak bagi mengecilkan ruang untuk anak buah Munoz menyusup masuk ke dalam kotak penalti sehingga menyukarkan Bergson da Silva dan Jairo da Silva melakukan rembatan bola berbahaya.

Namun JDT tidak pernah berputus asa untuk merobek gawang skuad Kancil apabila pada minit ke-31 berpunca daripada bola sepakan percuma Oscar Arribas menyaksikan Bergson melonjak tinggi dan melakukan tandukan tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan penjaga gol, Haziq Aiman Esa.

Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk menambah derita anak buah Devan apabila gerakan menarik Jairo pada minit ke-47 membuka ruang buat pemain gantian, Heberty Fernandes meledak gol ketiga tuan rumah selepas mudah merembat bola tepat ke penjuru kanan menewaskan Haziq Aiman.

Tidak sampai tiga minit gol ketiga JDT, mereka terus memukau benteng Melaka FC selepas bola sepakan lintang Arribas ditanduk keluar Irfan Zakaria tapi Teto Martin yang sudah bersedia di luar kotak penalti merembat kencang dan terkena tiang kanan sebelum masuk menewaskan Haziq Aiman bagi meletak Harimau Selatan selesa 4-0.

Sekali lagi VAR diperlukan selepas gol Bergson awalnya didapati ofsaid namun semakan yang dilakukan Nasiruddin mengesahkan jaringan pada minit ke-58 dan ia berpunca daripada bola sepakan lambung Park Jun Heong membolehkan penyerang prolifik Harimau Selatan mudah memperdaya Irfan sebelum merembat bola menewaskan Haziq Aiman bagi mencetak gol kedua peribadi.

Teto mencuri tumpuan selepas meledak gol kedua peribadi pada minit ke-66 berpunca daripada bola sepakan percuma Arribas dan Bergson bertindak menanduk bola ke belakang yang membolehkan pemain tengah JDT itu merembat kencang dari luar kotak penalti menewaskan Haziq Aiman.

Ketika aksi berbaki lima untuk ditamatkan, Melaka FC mengejutkan JDT selepas pemain gantian Abdul Azim Rahim bertindak merampas bola dari kaki pemain JDT dan pantas merembat bola dari tengah padang menewaskan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang tampak kebal sepanjang saingan liga akhirnya bolos buat kali pertama musim ini.

Bagaimanapun, JDT menyentap kebangkitan Melaka FC selepas Heberty mencetak gol kedua peribadi ketika aksi berbaki seminit ditamatkan apabila bola sepakan percuma dari jarak 25 meter menewaskan Haziq Aiman untuk meletak Harimau Selatan selesa dengan jaringan 7-1

Kemenangan ke-10 Harimau Selatan itu menyaksikan mereka mengumpul 30 mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah sekali gus berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan liga kali ke-12 berturut-turut manakala Melaka FC kekal dengan rekod tanpa kemenangan selepas mengharungi tujuh perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top