Papar: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dijadual dilancarkan, esok, merangkumi hampir semua aspek yang bakal memenuhi keperluan rakyat serta pembangunan negeri ini, termasuk berkait masalah tiga serangkai membabitkan bekalan air, elektrik dan jalan raya.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata manifesto yang dirangka itu selaras dengan slogan gabungan itu, ‘Bikin Balik Sabah’, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, antara perkara diberi keutamaan dalam manifesto berkenaan ialah inisiatif untuk mengurangkan kadar pengangguran golongan belia di Sabah.
“Kira-kira 17 peratus daripada anak muda yang berjumlah 165,000 orang, adalah penganggur.
“Jadi dalam manifesto itu, disebut bagaimana kaedah-kaedah supaya pengangguran di Sabah dikurangkan.
“Kaedahnya ialah melalui ekosistem pendidikan baharu, iaitu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Kebetulan saya juga adalah Pengerusi Majlis TVET Negara.
“Insya-Allah, TVET akan ditekankan di Sabah. Kita mahu anak-anak Sabah biarlah bekerja di Sabah dan kita wujudkan industri melalui pelaburan yang akan dibawa ke Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Khatam Perdana Pra Tahfiz KEMAS dan Malam Kesenian Islam dan Kenduri Rakyat, di Dewan Lok Kawi Height di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menjelaskan manifesto berkenaan sudah lama disiapkan pihaknya sebelum hari penamaan calon, namun hanya akan diumumkan esok.
“Dari segi waktunya adalah cukup baik kerana Sabtu akan memberikan penerbitan lebih baik pada media penerbitan untuk hari minggu dan berita utama juga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




