10 kali hadap SPM demi minat jadi cikgu

10 kali hadap SPM demi minat jadi cikgu

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kekurangan diri sebagai orang kurang upaya (OKU) pembelajaran tidak menjadi penghalang bagi seorang lelaki untuk melanjutkan pelajaran demi mengejar cita-cita bergelar guru.

Malah, Che Mohd Farid Ismail, 37, sanggup menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak 10 kali bagi mendapatkan keputusan baik untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Menceritakan cabaran dilalui Che Mohd Farid, adiknya, Che Ainun Nasihah Ismail, 35, berkata, ibu mereka, Che Rugayah Che Awang berusia 68 tahun pernah mengesyaki abangnya mempunyai masalah pembelajaran.

“Ibu maklumkan abang dalam kedudukan songsang ketika dilahirkan. Jika dilihat secara luaran, abang nampak ‘okay’, cuma agak lambat dalam pembelajaran.

“Keadaan itu menyebabkan ibu syak abang ada masalah pembelajaran sejak kecil lagi. Meskipun begitu, ibu mahu abang kuat dan tidak jadikan masalah itu sebagai alasan tidak berjaya dalam pelajaran,” katanya.

Che Ainun yang juga seorang doktor berkata, abangnya mengambil lapan subjek dalam SPM yang didudukinya sebanyak 10 kali bermula tahun 2005 hingga 2010.

“Selepas mendapat keputusan baik, abang melanjutkan pelajaran di tingkatan enam dan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebanyak dua kali.

“Abang kemudian menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Kesusasteraan secara pengajian jarak jauh (PJJ) di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2012,” katanya.

Menurutnya, Che Mohd Farid menjalani pemeriksaan untuk mengenal pasti masalah pembelajaran dihadapinya selepas selesai belajar di peringkat ijazah sarjana muda pada 2014.

“Pada mulanya, ibu saya agak keberatan untuk abang buat pemeriksaan itu kerana bimbang abang jadi lemah semangat.

“Bagaimanapun hasil keputusan bersama keluarga, abang menjalani pemeriksaan itu kerana kami bimbang dia sukar untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan dengan individu normal.

“Selepas menjalani pemeriksaan itu, abang disahkan mengalami masalah pembelajaran yang juga OKU pembelajaran. Alhamdulillah, abang menerimanya dengan baik,” katanya.

Katanya, abangnya yang juga anak keempat daripada tujuh beradik itu berjaya menamatkan pengajian di peringkat Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DLPI) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Melihat ibu dan ayah kami, Ismail Daud, 68, bekerja sebagai guru, abang terdorong untuk memilih kerjaya sama.

“Alhamdulillah, abang bakal bergelar guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru, Johor selepas mendaftar pada Isnin ini,” katanya.

Sebagai seorang adik, dia berbangga dengan pencapaian diraih abangnya yang bertungkus-lumus belajar meskipun dalam keadaan kekurangan demi mencapai cita-cita bergelar guru.

“Saya gembira bagi pihak dia atas cabaran dihadapinya. Akhirnya, abang berjaya berdikari dan memperoleh kehidupan sendiri memandangkan ini adalah kali pertama dia menetap jauh daripada keluarga yang menetap di Kota Bharu, Kelantan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top