Kuala Lumpur: Datuk Afdlin Shauki mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan karaoke terbuka untuk semua lapisan masyarakat di Segama, Lahad Datu, sebagai langkah mengurangkan tekanan dan ketegangan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Afdlin yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa berkata, acara itu tidak membabitkan kempen atau ucapan politik bagi calon partinya di kawasan berkenaan, sebaliknya, dianjurkan secara santai sebagai aktiviti hiburan untuk penduduk Segama.
“Saya fikir suasana kempen pilihan raya agak stres, jadi saya anjurkan pertandingan karaoke sebagai wadah santai untuk semua lapisan masyarakat.
“Pertandingan ini terbuka kepada semua, tidak kira parti dan bukan untuk kempen mana-mana parti. Siapa sahaja boleh sertai, asalkan menghantar video nyanyian selama 30 saat sebagai saringan awal.
“Jika layak, mereka boleh bertanding pada malam final, esok dan ia dianjurkan secara profesional dengan diadili juri termasuk saya. Malah, ada khemah dan pentas yang teratur,” katanya ditemui selepas majlis konvokesyen ke-8 Akademi Kreatif Meatech di Menara Felda di sini, hari ini.
Afdlin berkata, sambutan daripada penduduk setakat ini sangat menggalakkan terutama menjelang acara kemuncak, malam esok.
“Esok malam akan berlangsung Grand Finale, bermula jam 7 malam hingga 12 tengah malam, selepas Maghrib.
“Kita juga sudah pilih 20 peserta yang terbaik untuk membuat persembahan pada malam itu,” katanya.
Pada masa sama, Afdlin berkata, jadualnya agak padat dengan pelbagai program di Sabah sepanjang tempoh PRN sebagai wakil Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan.
“Saya mewakili MPN Wilayah Persekutuan untuk membantu calon di Segama. Kawasan itu boleh dianggap sebagai ‘anak angkat’ kami. Jadi, sejak beberapa hari lalu, saya berada di sana, kemudian pulang ke Kuala Lumpur dan selepas itu ke Sandakan pula.
“Di Sandakan, saya bersama Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengikuti program beliau untuk membantu calon di sana,” kata Afdlin yang akan ‘terbang’ ke Sabah, esok.
Dalam perkembangan lain, Afdlin menjadi salah seorang daripada 50 penggiat industri kreatif yang diraikan pada majlis konvokesyen itu.
Afdlin yang mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) peringkat Diploma Kemahiran Malaysia turut diumum sebagai penerima Anugerah Pencapaian Industri program Koordinasi Pengarahan Filem di bawah institut latihan kemahiran berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




