sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor FC (SFC) terus menghambat kelompok atasan liga selepas meraih tiga lagi mata hasil kemenangan 2-0 ke atas Kelantan The Real Warriors (TRW) pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Christophe Gamel melonjak ke tangga keempat Liga Super dengan 16 mata, empat mata ketinggalan di belakang Kuching City FC dan KL City FC dengan 20 mata.
Pada aksi terbabit, ‘The Red Giants’ tampak lebih banyak mendominasi permainan namun gagal mencipta peluang yang terbaik untuk mendapatkan gol pembukaan.
Peluang terbaik SFC hadir pada minit ke-11 menerusi tandukan Chrigor Moraes yang menyambut hantaran lintang Alvin Fortes namun diselamatkan Damyanov Damyan Valeriy menggunakan kakinya.
TRW melancarkan gerakan menerusi sebelah sayap kanan mereka sebelum dikecewakan dengan rembatan tinggi Lyngbo Simen Alexander pada minit ke-19.
Seminit berselang, SFC akhirnya mendapat gol pembukaan selepas penyudah kemas Fortes berjaya menewaskan Damyanov untuk kedudukan 1-0 buat tuan rumah.
SFC melebarkan jurang selepas rehat, sekali lagi menerusi Moraes yang menyambut bola ditepis Damyanov pada minit ke-53 berpunca daripada sepakan percuma Alvin Fortes yang terkena palang.
Malang menimpa TRW apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain susulan layangan kad merah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) ke atas Abdul Sesay yang melakukan kekasaran ke atas Harith Haiqal pada minit ke-58.
Selepas ini, SFC akan meneruskan aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Bangkok United di tempat lawan sementara TRW FC akan berehat seketika sebelum berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 20 Disember.
© New Straits Times Press (M) Bhd



