Burnley: Chelsea terus mengukuhkan cabaran kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Burnley di Turf Moor, sebentar tadi.
Pedro Neto membuka tirai jaringan sebelum rehat disusuli gol lewat permainan oleh Enzo Fernandez untuk memastikan tiga mata berharga buat skuad kendalian Enzo Maresca.
Kemenangan itu melonjakkan The Blues ke tangga kedua, tiga mata di belakang pendahulu, Arsenal yang akan menanti kunjungan Tottenham malam esok.
Ia juga menjadi penanda kejayaan istimewa buat Maresca yang mengendalikan perlawanan Liga Perdana ke-50 bersama Chelsea.
Dengan lapan kemenangan daripada 10 perlawanan terakhir dalam semua kejohanan, Chelsea kini berada dalam momentum terbaik menjelang minggu penting termasuk aksi Liga Juara-Juara menentang Barcelona di Stamford Bridge pada Selasa diikuti pertembungan dengan Arsenal, 30 November ini.
Chelsea turun tanpa tonggak serangan, Cole Palmer yang terpaksa melanjutkan tempoh pemulihan selepas mengalami patah jari kaki gara-gara tersandung pintu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




