suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Padang Rengas: Projek infrastruktur Kampung Padang Asam, di sini, yang dipilih sebagai Kampung Angkat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) siap sepenuhnya dengan peruntukan RM1.12 juta untuk program kemasyarakatan dan 10 projek infrastruktur asas.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata pihaknya memilih Kampung Padang Asam sebagai Kampung Angkat JKDM di bawah Program Kampung Angkat MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tahun lalu.
Katanya, program ini bertujuan merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar melalui penyediaan kemudahan asas serta fasiliti komuniti di kampung terpilih.
“Melalui program ini, Kementerian Kewangan (MOF) meluluskan peruntukan sebanyak RM1.12 juta di mana sebanyak RM300,000 adalah untuk program kemasyarakatan dan RM820,000 pula untuk melaksanakan 10 projek infrastruktur asas di Kampung Padang Asam.
“Kesemua projek infrastruktur asas ini telah berjaya disiapkan menerusi peruntukan itu,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan dan Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI JKDM 2025 di Masjid Al-Khairiyah, Kampung Padang Asam, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anis berkata, antara projek infrastruktur terbabit ialah empat projek penyelenggaraan jalan, pemasangan lampu jalan solar, pembaikan jambatan ke tanah perkuburan dan menaik taraf kemudahan tanah perkuburan dengan peruntukan RM431,374.
Selain itu, katanya, bagi Masjid al-Khairiyah pula, tiga projek infrastruktur asas siap dengan peruntukan RM190,980 bagi menaik taraf tangki air, bilik mandi, tempat letak kenderaan berbumbung serta menyediakan kabin dan binaan pasang siap untuk aktiviti ekonomi.
“Di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Asam, sebanyak dua projek infrastruktur asas telah disiapkan dengan peruntukan berjumlah RM153,000 bagi tujuan menaik taraf kemudahan dan membaik pulih enam bilik darjah.
“Selain itu, bagi Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAK) Kampung Padang Asam, satu projek infrastruktur asas telah disiapkan dengan peruntukan sebanyak RM44,646.00 bagi tujuan membaik pulih bangunan sekolah,” katanya.
Katanya, pelaksanaan projek infrastruktur asas ini juga mendapat kerjasama erat daripada Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kangsar, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan GiatMARA selaku agensi pelaksana.
© New Straits Times Press (M) Bhd




