syafil.syazwan@hmetro.com.my
Siapa yang lahir di era 1980-an dan 1990-an pasti punya memori manis menyaksikan gelagat lincah hero cilik dalam drama bersiri yang mencetus fenomena, Cili Padi.
Wajahnya yang sentiasa hadir di TV3 bersama pelakon kanak-kanak lain sentiasa dinantikan dan penonton turut menunggu apa kisah seterusnya dalam setiap episod.
Secara tak langsung, watak sebagai Salim itu sudah sebati dengannya dan kekal melekat hingga hari ini sehingga menjadi ‘trademark’ buatnya.
Kini, selepas berdekad lamanya, Tam Suhaimi atau nama sebenarnya Nor Azemi Suhaimi, 46, berkongsi coretan dan lipatan sejarah seninya.
Ibarat kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Namun, bagi Tam bakatnya bukan semata-mata tuah, tetapi kesinambungan darah seni yang mengalir dalam dirinya.
“Saya pun dapat tahu filem lakonan saya, Pak Tam Duda ditayangkan semula di RTMKlik. Ramai pula menandai saya di media sosial bila drama itu ditayangkan kembali,” katanya membuka bicara.
Tam yang ketika itu baru berusia 10 tahun, mendedahkan filem Pak Tam Duda yang ditayangkan pada 1989 adalah filem kedua lakonannya.
“Saya masih ingat, babak yang saya lakonkan untuk masuk dalam tong air adalah pada hari pertama penggambaran dan pada hari itu juga saya baru menerima skrip.
“Itu filem kedua. Filem pertama saya pula ialah Ragam Pemandu arahan Allahyarham Raja Ismail,” katanya.
Mengimbas kembali detik permulaan kerjayanya di bidang seni, Tam menceritakan titik tolaknya bukan di tempat lain, tetapi di lokasi penuh makna, Jalan Liku, Bangsar.
“Permulaan saya bermula di Jalan Liku dan hari ini, saya kembali ke sini. Pada 1986, TV3 baru dua tahun beroperasi. Mereka menghasilkan produksi ‘in-house’ bertajuk Nur Islam.
“Arwah pak cik mencadangkan saya untuk diuji bakat. Saya diterima dan berlakon selama seminggu. Tempat ini sangat nostalgik. Ada orang bermula di Sri Pentas, tetapi saya bermula di sini,” katanya.
Bakatnya ternyata bukan muncul sekelip mata. Tam mendedahkan, warisan seni dalam keluarganya turut memainkan peranan.
“Datuk dan nenek saya adalah pelakon era Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Minah Yem dan Yem Jaafar. Jadi, bila saya mula berlakon, ramai mengenali keluarga saya.
“Itu mungkin memudahkan, tetapi bakat tetap menentukan haluan. Alhamdulillah, saya ada kedua-duanya,” katanya.
Selepas Nur Islam, Tam berlakon dalam sketsa Hari Raya bersama beberapa pelakon lama sebelum bakatnya disedari oleh pengarah, Aziz M Osman.
“Pada usia 12 tahun, saya bekerja dengannya (Aziz M Osman) untuk drama RTM bertajuk Wawasan.
“Selepas itu, saya menjadi pelakon kanak-kanak untuk filem Cili Padi yang menjadi titik tolak kerjaya saya,” katanya.
Meskipun drama Cili Padi hanya bersiaran selama tiga musim, impak wataknya kekal utuh.
“Walaupun Cili Padi hanya tiga musim, ia diulang tayang selama beberapa tahun. Sebab itu ramai masih memanggil saya ‘Cili Padi’,” katanya.
Ditanya mengenai pengalaman paling tidak boleh dilupakan sepanjang penggambaran Cili Padi, Tam menganggapnya seperti cuti sekolah yang paling menyeronokkan.
“Cili Padi adalah pengisian cuti sekolah kami seperti ‘summer camp’. Kami rapat macam keluarga. Tiada telefon pintar, jadi kami banyak berinteraksi sesama sendiri.
“Abang Aziz melayan kami mengikut umur tidak memaksa kami menjadi dewasa atas nama kerja. Jadual pun tidak berat,” katanya.
Mengulas mengenai perbezaan populariti pelakon kanak-kanak dahulu dan sekarang, Tam mengakui ada kebenaran.
“Ada benarnya. Dahulu tiada media sosial, hanya TV. Jadi, muka sama sering muncul. Saya, Bell Ngasri dan Buzen Hashim pula sentiasa ‘berpusing’, kalau satu watak saya tidak dapat, mereka mungkin dapat,” katanya.
Dengan ledakan media sosial hari ini, beliau ditanya adakah nilai eksklusif seorang pelakon berkurang.
“Ada pro dan kontra. Media sosial bagus sebagai portfolio, tetapi akhirnya semuanya kembali kepada naskhah dan mutu lakonan,” katanya.
Tam melihat perkembangan positif dalam industri hari ini, terutama dari segi peluang yang diberikan kepada pelakon kanak-kanak.
“Sekarang pun saya lihat peningkatan iaitu pelakon kanak-kanak diberi watak lebih kompleks seperti Puteri Balqis dan kualiti lakonan akan sentiasa menjadi penentu utama,” katanya.
Meskipun zaman kegemilangan drama Cili Padi sudah berlalu, nama Tam kekal terpahat sebagai antara pelakon cilik legenda negara.
ESOK: Keluar dari zon selesa
© New Straits Times Press (M) Bhd




