Barcelona belasah Bilbao,Camp Nou kembali bernyawa

Barcelona belasah Bilbao,Camp Nou kembali bernyawa

Barcelona: Barcelona meraikan kepulangan penuh bersejarah ke Camp Nou yang dibina semula dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Athletic Bilbao, menamatkan penantian dua setengah tahun beraksi di gelanggang sementara.

Hasrat untuk kembali lebih awal ke Camp Nou tertangguh selama setahun akibat kelewatan pembinaan dan beberapa isu teknikal, namun kepulangan itu diraikan dengan penuh bergaya hasil jaringan Robert Lewandowski, dua gol Ferran Torres serta satu lagi sumbangan Fermin Lopez.

Malang berganda buat Athletic apabila Oihan Sancet dibuang padang pada babak kedua.

Kemenangan itu melonjakkan skuad Hansi Flick berkongsi tangga teratas La Liga bersama Real Madrid, yang akan beraksi menentang Elche awal pagi esok.

“Untuk semua…pemain, kakitangan dan penyokong, ia perlawanan yang amat istimewa. Kembali ke stadium ini sesuatu yang luar biasa,” kata Flick.

“Saya gembira dengan empat gol, rekod tanpa bolos dan tiga mata. Hari yang sempurna.”

Sekitar 45,000 penyokong memenuhi tiga bahagian stadium yang sudah siap dibuka, dengan pertunjukan bunga api sebelum dan selepas perlawanan menambah suasana meriah.

Barcelona merancang membuka lebih banyak tempat duduk menjelang 2026 dan mencapai kapasiti penuh 105,000 tempat duduk musim depan.

Flick turut menyifatkan pengalaman mengendalikan Barca di Camp Nou sebagai impian yang menjadi kenyataan.

Dia juga kembali menurunkan penjaga gol Joan Garcia selepas sembilan perlawanan diketepikan akibat kecederaan dan penampilan itu berjaya menghadiahkan The Catalan rekod bersih pertama sejak September.

Aksi bermula baik apabila Lewandowski yang memakai lilitan kapten membuka jaringan pada minit keempat hasil tekanan tinggi Eric Garcia.

Suasana penuh nostalgia turut terasa apabila penyokong menyanyikan nama Lionel Messi pada minit ke-10, selain terus mengejek Nico Williams yang menolak perpindahan ke Barcelona.

Torres menggandakan jaringan pada masa kecederaan babak pertama selepas menerima hantaran cantik Lamine Yamal, sebelum Lopez menambah gol ketiga sejurus selepas rehat.

Athletic semakin tertekan apabila Sancet dibuang padang selepas semakan VAR.

Barcelona hari indah mereka itu gol kedua Torres hasil gerakan individu lincah Yamal yang memperdaya tiga pertahanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top