AGROPLATS Biaya Plus-i tawar dana RM10,000 untuk usahawan mikro

AGROPLATS Biaya Plus-i tawar dana RM10,000 untuk usahawan mikro

lokman.khairi@hmetro.com.my

Subang Jaya: Agrobank terus memperkukuh peranan dalam pembangunan penjaja dan peniaga kecil apabila melancarkan skim pembiayaan mikro tanpa kadar keuntungan, AGROPLATS Biaya Plus-i.

Skim berkenaan adalah hasil kerjasama strategik Agrobank bersama kerajaan negeri Selangor menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pembiayaan khas itu dirangka untuk menyediakan sokongan pembiayaan kepada usahawan mikro yang berdaftar di bawah Digital Platform Selangor (PLATS).

Menurutnya, melalui skim AGROPLATS Biaya PLUS-i, usahawan yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga RM10,000 manakala pihak kerajaan negeri akan memperuntuk RM1 juta bagi menanggung keseluruhan kos kadar keuntungan sepanjang tempoh pembiayaan.

“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan komitmen kewangan pemohon, malah membolehkan mereka memfokus kepada pengembangan perniagaan.

“Skim ini mencerminkan komitmen Agrobank untuk memperkasa para penjaja dan usahawan mikro yang memainkan peranan penting dalam ekosistem keterjaminan makanan negara.

“Melalui kerjasama dengan MBI Selangor, kami percaya usaha ini akan membantu lebih ramai usahawan menstabilkan aliran tunai, memperkukuh operasi perniagaan serta terus berkembang dalam persekitaran ekonomi yang agak mencabar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor (HPPKS) 2025 di The Roundabout @Putra Height di sini, baru-baru ini.

Majlis Pelancaran Skim AGROPLATS Biaya PLUS-i dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Kemuning, S Preakas; Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Datuk Ts Saipolyazan M Yusop.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, pelaksanaan AGROPLATS Biaya Plus-i bakal memberi impak yang signifikan dalam memperluas akses pembiayaan inklusif di negeri Selangor.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan, malah berpotensi meningkatkan penyertaan usahawan mikro dalam ekosistem digital PLATS serta memperkukuh daya tahan sektor perusahaan kecil tempatan,” katanya.

Sementara itu, Amirudin memuji peranan dimainkan Agrobank bagi membantu penjaja dan peniaga kecik di negeri ini untuk terus mengembangkan perniagaan menerusi pembiayaan AGROPLATS Biaya Plus-i.

“Pada Ramadan lalu, Arobank menaja 1,500 tapak untuk penjaja dan peniaga kecil di seluruh Selangor yang merekodkan transaksi atas talian RM1.7 juta, satu angka yang amat memberangsangkan.

“Hari ini satu lagi berita gembira apabila pembiayaan AGROPLATS Biaya Plus-i yang kita baru luncurkan sebentar tadi adalah hasil daripada kerjasama dengan pihak Agrobank.

“Ini adalah satu contoh bagaimana kolaborasi pintar di antara kerajaan negeri yang sudah mempunyai pangkalan data bersama pihak perbankan yang boleh mempromosikan platform di atas talian mereka yang yang berkesan dan sekaligus menggerakkan age da digitalisasi di kalangan peniaga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top