Tular insiden pergaduhan babitkan penyokong NSFC dan Terengganu FC

Tular insiden pergaduhan babitkan penyokong NSFC dan Terengganu FC

am@hmetro.com.my

Seremban: Berlaku pergaduhan membabitkan penyokong pasukan bola sepak Negeri Sembilan yang dikatakan menyerang bas penyokong pasukan lawan di luar Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu berlaku selepas perlawanan membabitkan pasukan tuan rumah dengan pasukan Terengganu FC dan video berkenaan tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kejadian dipercayai berlaku di Jalan Kedidi menghala ke lampu isyarat simpang empat Jalan Kuala Pilah-Seremban.

“Dipercayai kejadian berlaku ketika penyokong Ultra Terengganu dalam perjalanan balik selepas selesai perlawanan membabitkan sebuah bas dan dua van.

“Dikatakan berlaku provokasi antara kedua-dua penyokong ketika melalui Jalan Kedidi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelas beliau, ketika kejadian itu, semua anggota unit sedang membuat kawalan di bilik pemain dan parkir bas penyokong Terengganu berhampiran sebuah hotel.

“Setakat ini belum ada laporan polis diterima berkenaan video tular kejadian gaduh berkenaan,” katanya.

Perlawanan petang semalam menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi mata selepas seri 1-1 walaupun Terengganu bermain dengan 10 pemain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top