am@hmetro.com.my
Langkawi: Wartawan dan juruhebah LangkawiFM, Wan Nur Asyikin Wan A’zemim, 33, bersama suami dan dua anaknya nekad meredah banjir untuk keluar dari hotel penginapan mereka di Hatyai, Thailand, selepas dua hari terperangkap.
Nur Asyikin bersama anaknya, Nadhif Alfian Khairul Anwar, 9 bulan, dan Ifti Liyanna, 5, kini menunggu kenderaan untuk membawa mereka serta tujuh rakan lain menuju ke sempadan Malaysia-Thailand di pintu masuk Sadao-Bukit Kayu Hitam.
Beliau berkata, mereka mengambil peluang keluar dari hotel selepas melihat banjir surut sedikit, meskipun cuaca hujan masih lebat di sekitar Hatyai sepanjang hari ini.
“Kami sudah keluar dari hotel dengan meredah banjir. Sekarang kami berada di kawasan ASEAN Bazar tunggu lori untuk ke sempadan.
“Kami dimaklumkan sudah ada kenderaan lori, cuma kena tunggu sebab lori bergerak perlahan, banyak kawasan banjir… harap ada rezeki untuk teruskan perjalanan keluar dari kawasan banjir,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, keputusan keluar segera dibuat kerana keadaan semakin mencemaskan, terutama apabila dua anaknya dalam keadaan sejuk, letih dan lapar.
“Dua anak saya alas perut dengan makan biskut kering saja. Itu satu-satunya makanan yang kami ada kerana semua kedai tutup akibat banjir.
“Sayu hati melihat mereka hanya makan biskut, tapi saya reda… anggap ini ujian untuk kami,” katanya.
Katanya, dia dan suami cuba mencari makanan lain namun usaha itu sukar kerana kebanyakan premis perniagaan ditenggelami air atau tidak beroperasi.
Wan Nur Asyikin berkata, selain memastikan keselamatan anak, cabaran seterusnya adalah mendapatkan kenderaan untuk membawa mereka keluar menuju ke sempadan Thailand-Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




